Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman bahawa kelemahan dan kegagalan undang-undang sivil merupakan faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes rogol di bawah umur.

Beliau berkata, dakwaan kes rogol naik disebabkan kegagalan undang-undang sedia ada kerana enakmen syariah tidak dilaksanakan adalah tidak benar.

“Apa yang disebut MP Sik itu tidak benar, sebaliknya Kanun Jenayah Syariah ini dibuat di negeri Kelantan tetapi di negeri itulah antara kes paling tinggi kes jenayah rogol.

“Kalau lihat pada statistik, jelas menunjukkan kes meningkat di Kelantan, Kedah dan juga di Terengganu, tetapi di Pulau Pinang kes menurun yang mana saya sekarang bandingkan data bagi tahun 2022 dan 2023,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin, Ahmad Tarmizi hanya memetik sebahagian daripada taklimat yang diberikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada Kementerian Dalam Negeri.

“Apa maksud jenayah seksual? Ia membabitkan antaranya jenayah rogol, mencabul, sumbang mahram, memiliki bahan lucah dan sebagainya.

“Berdasarkan statistik yang diperolehi Polis Diraja Malaysia, bagi setiap 100 pelaku jenayah rogol membabitkan bawah umur, 70 peratus adalah golongan B40 yang bermaksud ia dilakukan oleh golongan berstatus ekonominya rendah.

“Bagi kelompok keluarga M40 pula merekodkan 24 peratus bagi 100 pelaku manakala pecahan mengikut kaum pula menunjukkan 67 peratus pelaku jenayah berkenaan adalah Melayu di negeri-negeri berkenaan yang didominasi Melayu,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati bahawa sekarang bukan masanya untuk menunjukkan kelompongan dan mana yang tidak sempurna atau siapa yang bersalah.

Menurut Saifuddin, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menangani isu tersebut dan mencari jalan mengatasinya. -MalaysiaGazette