PETALING JAYA – Orang awam khususnya yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan turut menasihatkan orang awam minum air yang cukup bagi mengelakkan strok haba.
“Kita nasihatkan orang awam adalah pendedahan cuaca panas elakkan aktiviti di luar dan memastikan kalau perlu di luar pakai pakaian sesuai supaya tidak terdedah suhu yang panas dan kita nasihatkan banyak minum air terutama di kawasan yang mengalami suhu tinggi.
“Orang tua dan kanak-kanak mereka berisiko kepada haba ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Suite Derma Darah St. John Ambulans Malaysia 1Utama Shopping Centre dengan kerjasama Pusat Darah Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pusat beli belah tersebut.
Terbaru Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dilaporkan berkata cuaca panas yang dialami pada ketika ini di beberapa negeri di utara Semenanjung adalah satu fenomena berulang yang berlaku saban tahun pada setiap Februari hingga Mei.
Amaran cuaca panas tahap dua berlaku apabila suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.-MalaysiaGazette