BATU CAVES – Keenam-enam wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing selepas pindaan Fasal 10 Perlembagaan parti diluluskan pada hari ini.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kekosongan enam kerusi Bersatu itu akan berkuatkuasa selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan Perlembagaan Bersatu.
“Kalau ada ahli-ahli Parlimen atau ADUN yang bertindak luar daripada dasar parti, sebagaimana yang telah berlaku kepada enam ahli Parlimen itu.
“Ikut pindaan ini, maka keahliannya terhenti, bermakna dia tidak jadi ahli Bersatu, itu selaras dengan peruntukan Perkara 49(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi ini akan menjadi pencetus kepada Akta Anti Lompat Parti, maknanya dia tidak lagi jadi ahli, kerusi itu akan terkosong.
“Apabila kerusi itu kosong, ia akan dimaklumkan kepada Suruhannya Pilihan Raya (SPR), maka pilihan raya kecil (PRK) bagi semua kerusi yang terlibat itu akan diadakan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Agung Khas Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang, di sini.
Setakat ini, enam ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).
Selain itu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaharu, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Ketika ditanya tentang sama ada pindaan itu boleh dibawa ke belakang, Muhyiddin berkata, tidak timbul soal itu kerana keenam-enam Ahli Parlimen Bersatu terbabit.
“Bagi saya tak perlu kerana keenam-enam ahli Parlimen itu mengatakan masih ahli Bersatu dan mereka juga tidak lagi kita singkirkan.
“Efektifnya sampai hari ini mereka masih ahli Bersatu, tapi selepas pindaan ini sudah diputuskan, nanti kita tanya balik, you kata you Ahli Bersatu tapi sudah pergi sokong sana (Perdana Menteri).
“Ikut pindaan Perlembagaan hari ini, itu salah dan dengan sebab itu maka you punya keahlian Bersatu akan terhenti mulai hari itu, kesannya you kena kosongkan kerusi,” katanya. – MalaysiaGazette