PETALING JAYA – Golongan belia digalakkan untuk menjadi penderma darah bagi membantu meningkatkan stok darah dalam negara.

Sehubungan itu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak swasta dengan Pusat Darah Negara (PDN) bagi melaksanakan usaha mempromosi, sekali gus menarik lebih ramai golongan belia tampil menjadi penderma.  

Terdahulu katanya, Pusat Darah Negara menerima kira-kira 800,000 beg darah setiap tahun.

Daripada jumlah tersebut 500,000 diperlukan setiap tahun.

Bagaimanapun, Dzulkifly tidak mahu Pusat Darah Negara selesa dengan lebihan stok darah tersebut.

“Kalau ikut nisbah sekarang ini 23 kepada 1,000 penduduk negara yang menderma darah.

Dengan perkembangan pesat kesihatan, kadar ini perlu ditambah kepada nisbah 30 hingga 35 bagi setiap 1,000 penduduk yang menjadi penderma menjelang tahun 2030.

“Sebab itu perlu digembeling usaha menarik penderma belia, seperti hari ini kerjasama yang ditawarkan premis beli belah dengan Pusat Darah Negara, sebab golongan muda biasa ke pusat beli belah,” katanya.

Belau menyatakan demikian ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Suite Derma Darah St. John Ambulans Malaysia 1Utama Shopping Centre dengan kerjasama Pusat Darah Negara.

Dalam pada itu, menjelang Ramadan yang bakal menjelang, Dzulkilfy mengakui jumlah penderma darah akan berkurang namun ia tidak akan membantutkan usaha menderma.

“Tidak ada masalah dari sudut hukum untuk menderma darah dalam bulan puasa cuma perlu sihat. Tapi derma darah ni rentas kaum dan agama, sesiapa sahaja masih boleh menderma,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pendermaan Darah, Pusat Darah Negara, Dr Thane Moze Darumalinggam yang senada dengan Menteri Kesihatan itu berkata, golongan belia seawal usia 17 tahun digalakkan untuk menjadi penderma.

Katanya, inisiatif ini akan dapat membantu meningkatkan stok simpanan darah dalam negara.

“Bagi penderma berusia 17 tahun ke atas boleh hadiri ke mana-mana pusat derma darah dengan ditemani ibu bapa. Bagi yang berumur 18 tahun boleh hadir sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast