Nurul Izzah.

KUALA LUMPUR – Tidak memadai untuk Malaysia hanya menggunakan Ops Ihsan sebagai cara untuk bersolidariti dengan Palestin.

Sebaliknya, anak perempuan kepada Perdana Menteri iaitu Nurul Izzah Anwar berkata, usaha menyokong Palestin perlu diterjemahkan dengan mempertahankan naratif terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Israel.

Menurutnya, Malaysia perlu lantang mengecam negara yang membantu kewangan Israel.

“Kita perlu pastikan bukan sahaja solidariti kita tetapi juga naratif jangan mudah tertipu. Saya nampak usaha berterusan untuk memutar belit perkara ini. Kita perlu konsisten mengecam tindakan keganasan Israel.

“Kita di Malaysia tidak cukup dengan solidariti yang ditunjukkan di bawah Ops Ihsan bila lagi nak bersama dengan Palestin sudah terang lagi bersuluh, kita ada pilihan,” katanya ketika berucap di Himpunan Mega Demi Palestina di Padang Merbok.

Tambahnya, Malaysia juga perlu mendesak supaya Palestin dijadikan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya dapat bersuara terhadap kekejaman Israel dan negara-negara yang menyokong rejim itu.

“Kita desak semua negara berdaulat memastikan mereka tidak mendukung bukan sahaja isu keganasan Israel tetapi dari segi sebarang bentuk bantuan ekonomi. Negara kita berpaksikan moral, kita sokong negara yang ada prinsip moral

“Kita kena desak Palestin membership PBB dan kita tidak boleh berganjak sebab perjuangan ini lama bukan setakat hari ini sahaja,” katanya.

Jelas Nurul Izzah, negara-negara yang menyokong Palestin secara terang-terangan dan membantah genosid patut membuka mata Malaysia dan seluruh dunia.

“Begitu ramai yang membuka mata termasuklah tentera aktif dalam Amerika Syarikat yang membakar diri kerana mahu memperjuangkan dan membantah genosid yang berlaku di Palestin,” katanya.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu;  Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir; jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) dan aktivis sosial, Tian Chua dan Hishamuddin Rais.

Sementara itu, Hishammuddin menyifatkan solidariti rakyat Malaysia menerusi penganjuran himpunan seperti hari ini perlu dianjurkan secara konsisten sebagai usaha bersuara menolak kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin.

Himpunan yang berarak sejauh 5 kilometer (km) dari Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak ke Padang Merbok itu berakhir sekitar jam 6.30 petang tadi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast