Tan Sri Abdul Wahid Omar (kiri) pada Sidang Pleno Sesi Libat Urus Kongress Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto SYADILA AMARI, 02 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Usaha untuk memperkasakan golongan bumiputera tidak akan berjaya jika tumpuan hanya diberikan kepada sektor awam.

Menurut Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, adalah penting dasar pemerkasaan bumiputera dilebarkan kepada sektor swasta.

“Pendekatan kita selama ini banyak fokus kepada sektor awam. Kalau dulu sektor awam menyumbang kepada separuh daripada ekonomi negara. Tapi pada 2023 sektor awam termasuk pelaburan dan penggunaan menyumbang hanya 17.8 peratus daripada KDNK negara.

“Selebihnya paing besar 76.2 peratus sumbangan pelaburan dan penggunaan di sektor swasta. Bermakna ekonomi sektor swasta ini adalah 4.3 kali ganda lebih besar berbanding sektor awam.

“Jadi kalau dasar pemerkasaan dan polisi hanya berfokus sektor awam sampai bila pun penyertaan pemilikan dan penguasaan bumiputera akan rendah,” kata beliau dalam Sesi Rumusan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang berlangsung sejak Khamis lalu

Abdul Wahid berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkah terdapat jurang pendapatan median pekerja formal bumiputera iaitu RM2,200 berbanding etnik Cina RM4,000 sebulan.

Golongan bumiputera juga hanya menguasai 37 peratus pemilikan hartanah kediaman, hartanah kormersial (13 peratus) dan hartanah industri (6 peratus).

Pemilikan saham bumiputera di Bursa Malaysia hanya 18.4 peratus iaitu jauh lebih rendah sasaran 30 peratus.

Penguasaan korperat dalam syarikat senarai awam masih rendah iaitu 62 syarikat dikuasai bumiputera berbanding 945 syarikat yang tersenarai.

Katanya, untuk menjayakan agenda pemerkasaan bumiputera ia perlu dilaksanakan berdasarkan keperluan dan kelayakaan dalam mendapat sokongan bukan bumiputera.

“Kalau kita nak berikan diskaun kepada bumiputera yang hendak beli banglo bernilai RM2 juta itu tidak sesuai dan tidak berdasarkan kepada keperluan. Sebab apabila kita melaksanakan polisi sebegini ia akan mendatangkan ketidakpuasan hati dalam kalangan bukan bumiputera.

“Ini bermakna berdasarkan kaum dan tidak kepada keperluan. Jangan beri diskaun dan ia harus dimasukkan ke dalam tabung perumahan untuk pemilikan tanah rakyat yang kurang berkemampuan.

“Apabila kita melaksanakan polisi berdasarkan keperluan insya-Allah akan mendapat sokongan oleh semua dan lebih berkesan,” kata beliau.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast