Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Penutupan Kongress Ekonomi Bumiputera (KED) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto SYADILA AMARI, 02 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Kerajaan menyediakan tabung geran padanan sebanyak RM100 juta bagi menggalakkan lebih banyak syarikat swasta melaksanakan program pembangunan vendor seperti penyediaan program latihan dan peningkatan kemahiran dalam bidang baharu khususnya pendigitalan, peralihan tenaga dan teknologi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha tersebut dijangka dapat membantu sehingga 10,000 Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan terutamanya usahawan bumiputera.

Geran itu turut dibuka untuk membimbing misalnya PMKS kaum India.

Pengumuman tersebut dibuat Anwar dalam ucapan Majlis Penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 hari ini.

Kerajaan menurut beliau, akan mengkhususkan dana pembiayaan kredit mikro Bumiputera sehingga RM1 bilion melalui Institusi Kewangan Pembangunan seperti BSN, Agrobank, dan TEKUN Nasional

Ia bagi menyediakan sokongan kepada pelbagai segmen usahawan Bumiputera termasuklah wanita, belia dan veteran tentera serta penjaja, pekerja gig dan pengusaha food truck.

Sementara itu Anwar mengarahkan semua jabatan, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan GLC hanya dibenarkan membeli cenderahati hasil seni yang diusahakan oleh pengusaha bumiputera.

Dasar tersebut akan diteruskan semasa Malaysia mempengerusikan mesyuarat ASEAN tahun depan.

“Semua pihak harus membantu dan merancakkan lagi penghasilan produk kraf tangan tempatan agar nanti dapat dipamerkan keunikan dan ketulenan hasil kraf dari setiap negeri,” katanya.

Kerajaan juga bersetuju untuk mewujudkan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak pekerja gig yang kini mencecah seramai 1.12 juta orang terutamanya dari segi keperluan perlindungan sosial, pertikaian kontrak serta kemajuan kerjaya.

Langkah tersebut mengambil kira semakin ramai dalam kalangan belia bumiputera yang melibatkan diri dalam pekerjaan gig namun mereka tidak punyai perlindungan perundangan pekerjaan serta sistem perlindungan sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast