KUALA LUMPUR – Dapatan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) akan dipantau Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) bagi memacu ekonomi negara ke arah yang lebih mampan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kongres yang berlangsung selama tiga hari itu telah berjaya menghasilkan 70 resolusi untuk memartabatkan agenda sosio ekonomi bumiputera.
Katanya, ia diambil melalui pendekatan bottom-up menerusi Sesi Libat Urus (SLU) yang telah diadakan sejak Disember tahun lepas dan terdiri daripada 10 kluster-kluster yang berkait rapat dengan agenda Bumiputera.
“Perdana Menteri telah menyatakan komitmen dapatan kongres ini akan dicerakin untuk diterjemahkan ke dalam hala tuju agenda baru pemerkasaan bumiputera dalam masa 10 tahun akan datang.
“Semoga hasil dapatan KEB ini akan terus membawa kepada agenda pelaksanaan yang dipantau oleh MEB bagi memacu ekonomi negara kita ke arah yang lebih mampan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
KEB2024 berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula 29 Februari sehingga semalam.
Ia dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada perasmian penutup semalam, Anwar mengumumkan untuk mewujudkan Tabung Waqaf MARA MADANI.
Bagi tujuan itu, beliau mengumumkan peruntukkan dana berjumlah RM1 bilion yang akan dikendalikan oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) bagi agenda pembangunan usahawan.
Perdana Menteri turut menyediakan dana pembiayaan berjumlah RM500 juta sebagai galakkan untuk membangunkan tanah-tanah wakaf agar dapat menjana pendapatan mampan dan menyediakan rumah-rumah mampu milik. – MalaysiaGazette