Pengarah Kastam Diraja Malaysia Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad (dua, kiri) menunjukkan sebahagian daripada 28 unit kenderaan mewah pelbagai jenama yang dirampas sepanjang Januari sehingga Februari 2024 di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan Kastam Diraja Malaysia Perak, Meru, hari ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 04 MAC 2024.

IPOH – Sebanyak 28 kenderaan mewah pelbagai jenama disita Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan di 12 lokasi berasingan sekitar Perak dan Selangor sejak Januari lalu.

Pengarah Kastam Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, rampasan kenderaan antaranya Mini Cooper, Porche dan Mercedes itu membabitkan nilai cukai dianggarkan sebanyak RM10.4 juta.

Menurutnya, rampasan itu dilakukan selepas pihaknya mendapati berlaku ketidakpatuhan dan pelanggaran syarat atas pengecualian duti dan cukai.

“Sepatutnya, kesemua kenderaan itu disimpan di dalam gudang berlesen yang diluluskan, namun kita rampas di tempat lain.

“Sebuah lagi kenderaan yang disita mempunyai nombor berpendaftaran di Langkawi dan telah berada di Semenanjung melebihi 90 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM Perak di Meru Raya, dekat sini hari ini.

kastam kereta mewah sita juta cukai duti JKDM Perak selangor Datuk Abdul Ghafar Mohamad kastam kereta mewah sita juta cukai duti JKDM Perak selangor Datuk Abdul Ghafar Mohamad
Pengarah Kastam Diraja Malaysia Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad pada sesi sidang media berkaitan kes kejayaan merampas 28 unit kenderaan mewah pelbagai jenama sepanjang Januari sehingga Februari 2024 di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan Kastam Diraja Malaysia Perak, Meru, hari ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 04 MAC 2024.

Di samping itu, Abdul Ghafar memaklumkan, dalam serbuan tersebut, seramai 11 individu berusia antara 40 hingga 50 tahun yang disyaki pemilik kenderaan dan syarikat ditahan bagi membantu siasatan.

Jelas beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada pemilik kenderaan dan syarikat terlibat memiliki permit import (AP) atau tidak.

kastam kereta mewah sita juta cukai duti JKDM Perak selangor Datuk Abdul Ghafar Mohamad kastam kereta mewah sita juta cukai duti JKDM Perak selangor Datuk Abdul Ghafar Mohamad
Kejayaan pihak Kastam Diraja Malaysia Perak merampas 28 unit kenderaan mewah pelbagai jenama sepanjang Januari sehingga Februari 2024 di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan Kastam Diraja Malaysia Perak, Meru, hari ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 04 MAC 2024.

“Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(d), Seksyen 133 (1)(a) dan Seksyen 138 Akta Kastam 1967.

“Orang awam diminta untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeluduan kepada Pejabat Kastam terdekat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette