Anggota JIM Johor memeriksa dokumen PATI ketika OPS Gegar dilakukan sekitar Johor dua hari lalu.

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 66 warga asing termasuk empat majikan tempatan dalam Ops Gegar di seluruh negeri ini selama dua hari sejak Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri , Baharuddin Tahir, fokus utama operasi kali ini diberi tumpuan di pusat-pusat refleksologi, premis hiburan dan restoran yang dipercayai menggaji pekerja asing tanpa pas yang sah.

Tahanan melibatkan empat lelaki warga tempatan dipercayai penjaga premis pusat hiburan, berusia 21 hingga 43 tahun.

Warga asing yang ditahan termasuk lima lelaki dan 37 wanita warga Thailand; tujuh lelaki dan empat wanita Myanmar; seorang lelaki Vietnam, dan seorang wanita Indonesia.

Selain itu dua warga China, seorang lelaki Bangladesh, serta dua lelaki dan seorang wanita Sri Lanka.

Mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) iaitu tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia,Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa, Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan dan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette