GEORGE TOWN – Sebuah bot nelayan tempatan ditahan ketika sedang leka menangkap ikan menggunakan pukat tunda di kedudukan 14.2 batu nautika barat Muara Sungai Pinang di sini, semalam.
Pemangku Pengarah APMM Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, bot peronda APMM telah menahan bot terbabit ketika melaksanakan rondaan Ops Tiris 3.0, pada jam 6.10 petang.
Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang kru tempatan dan empat kru Myanmar atas bot berkenaan berusia antara 24 dan 42 tahun.
“Siasatan kita mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 di bawah Seksyen 8(b) iaitu melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti perikanan di bawah 15 batu nautika.
“Selain itu, semakan lanjut mendapati empat kru warga Myanmar berkenaan juga tidak memiliki permit yang sah mengikut Seksyen (1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam kes yang berasingan, Nak Rong berkata, pihaknya turut menahan sebuah lagi bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 8.3 batu nautika barat daya Pulau Kendi dekat sini, pada 29 Februari lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit dikendalikan tiga kru warga tempatan, Myanmar (4) dan seorang warga Thailand yang berusia antara 25 hingga 37 tahun.
“Semakan lanjut mendapati kesemua warga asing itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) dan Akta Imigresen 1959/63.
“Secara keseluruhan sebanyak 3.7 tan hasil laut dirampas daripada kedua-dua bot tersebut sebelum dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette