Howard Lee Chuan How

KUALA LUMPUR – Parti pembangkang didakwa menggunakan dan mempertikaikan pengiktirafan bak kut teh sebagai hidangan warisan negara untuk mencetuskan sentimen kebencian dalam kalangan masyarakat.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How berkata, ‘bak’ daripada ‘bak kut teh’ dalam bahasa Hokkien bermaksud daging, bukannya daging khinzir.

“Bak dalam hokkien bermaksud daging. Kalau ‘tu bak’ itu dalam hokkien daging khinzir, ‘ku bak’ itu daging lembu.

“Setuju tak Hulu Langat (Mohd Sany Hamzah- Pakatan Harapan) kalau dikatakan mereka ini sebenarnya menipu cuba menimbulkan sentimen ketegangan dan kebencian seolah-olah bak ialah daging khinzir yang sebenarnya tipu oleh sebelah sana,” katanya ketika mencelah perbahasan Sany di Dewan Rakyat hari ini.

Dewan Rakyat terdahulunya kecoh akibat isu bak kut teh apabila Sany menegaskan bak kut teh menjadi haram apabila masakan tersebut menggunakan daging khinzir.

Beliau kemudian menyifatkan isu tersebut sengaja diperbesarkan dan dipolitikkan.

“Isu bak kut teh, kalau guna daging babi jadi tidak halal. Gunalah daging yang kita boleh makanan, apa masalahnya. Daging kambing boleh, daging lembu boleh, daging ayam boleh, daging itik boleh.

“Ini pun kita nak jadikan konflik dalam negara kita, sedangkan ada banyak makanan warisan lain dodol contohnya. Semua benda nak dipolitikkan ini jadi masalah dalam negara,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Misbahul Munir Masduki (Perikatan Nasional) bangun sambil menjelaskan pembangkang mempertikaikan isu tersebut kerana ingin penjelasan status halal makanan berkenaan.

“Saya tidak pertikaikan bak kut teh yang dimakan bukan Islam, kita hanya bagi pandangan supaya dijelaskan status halal atau haram bak itu apa maksud sebenarnya?.

“Saya rujuk wikipedia bak adalah sup tulang daging khinzir, sedangkan yang dicadangkan Lajnah Perpaduan adalah I kut teh bukan bak kut teh,” tambahnya.- MalaysiaGazette