JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail atas dakwaan menyalahgunakan wang masjid dua tahun lalu.
Tertuduh, Syaharullah Ismail, 44, didakwa curang menggunakan harta iaitu wang milik masjid bernilai RM12,000.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 12 November 2022 antara jam 9.16 malam hingga 9.17 minit malam di Bank Islam Malaysia Berhad cawangan Kluang di No 46 & 48 Bangunan Tabung Haji Jalan Dato Kapten Ahmad di Kluang.
Lelaki ini didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang enam bulan penjara dan tidak lebih daripada lima tahun dan sebatan selain boleh dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Zahida Muhammad Ruzi, menetapkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
Selain itu, tertuduh diminta melaporkan diri ke pejabat SPRM Kluang sebulan sekali.
Sementara itu, peguam K.Bharathi yang mewakili tertuduh meminta pihak mahkamah mengurangkan nilai jaminan atas alasan Syaharullah hanya menerima gaji RM1,500 sebulan.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin bagaimanapun menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 terhadap tertuduh, selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan serahan dokumen pada 8 April depan.-MalaysiaGazette