GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengulang gesaan terhadap kerajaan negeri Johor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan undang-undang yang tegas bagi menangani masalah pencemaran sungai di Pasir Gudang.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ia susulan masalah tersebut berulang serta sudah lama berlarutan.
Jelas beliau, keadaan itu amat membimbangkan kerana ia boleh merebak dan mengancam alam sekitar serta kehidupan penduduk dengan lebih serius pada masa akan datang.
“Kejadian pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang membabitkan Sungai Kim Kim sebelum ini adalah peristiwa hitam yang tidak boleh dilupakan kerana memberi kesan amat buruk kepada hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah di kawasan berkenaan.
“CAP sudah berulang kali mendesak kerajaan bertindak tegas menangani masalah ini sejak beberapa tahun yang lalu dan berpendapat ia adalah kelemahan penguatkuasaan undang-undang serta tidak ada tindakan tegas diambil ke atas pihak yang menjadi punca berlakunya masalah itu.
“Ia menyebabkan keadaan bertambah kritikal dan boleh mengancam nyawa serta hidupan air seperti ikan, udang, ketam dan lain-lain di sungai berkenaan termasuk laut berhampiran yang menjadi tempat nelayan mencari rezeki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohideen, kawasan hutan paya bakau yang merupakan tempat pembiakan hidupan laut juga berisiko terancam jika sisa buangan toksik dari kilang industri tidak dikawal dengan berkesan menerusi pemantauan rapi oleh pihak berkaitan.
“Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 perlu dikuatkuasa dengan berkesan dan pemantauan yang berterusan serta lebih kerap perlu dilakukan PBT di semua kawasan perindustrian serta lokasi yang menjadi sasaran pembuangan sisa kilang secara haram seperti saliran dan sungai.
“CAP juga meminta kerajaan negeri, JAS dan PBT mendedahkan kepada orang ramai daripada semasa ke semasa kedudukan dan tahap pencemaran sungai yang berlaku di kawasan Pasir Gudang supaya ia dapat meredakan kebimbangan penduduk dan masyarakat nelayan yang terdedah,” tegas beliau.
Terdahulu, media melaporkan Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon mendakwa empat sungai di Pasir Gudang tercemar tahap tiga dan empat serta memerlukan pemantauan kerap.
Tian Soon berkata, selain Kim Kim, sungai yang didapati turut tercemar termasuk Sungai Tukang Batu, Sungai Perambi dan Sungai Buloh.
“Ia berdasarkan sampel air yang diambil, sungai berkenaan didapati berada di tahap tiga dan empat iaitu keadaan yang membimbangkan,” katanya. – MalaysiaGazette