Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar. Foto WAN NABIL NASIR, 08 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) optimis parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Datuk Seri Hajiji Noor dijangka menang dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, prestasi Hajiji jauh mengatasi dua pemimpin pembangkang antara Warisan dan UMNO yang mahu merampas jawatan Ketua Menteri Sabah.

“G57 bekerjasama rapat dengan dua badan bebas di Sabah menilai prestasi Hajiji termasuk pencapaian kerajaan GRS dan Pakatan Harapan (PH).

“Hasil yang boleh dirumuskan setakat ini Hajiji jauh mengatasi dua pemimpin yang beriya-iya mahu merebut jawatan Ketua Menteri Sabah.

“Antaranya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Bung Moktar Radin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkarnain juga berharap kerjasama antara GRS dan PH dapat dimuktamadkan memandangkan undi bagi kawasan suku kaum majoriti Cina dilihat sehingga kini masih cenderung kepada PH.

“Setakat ini rakyat Sabah secara keseluruhannya amat berpuas hati terhadap prestasi Hajiji.

“Ini jelas dapat dilihat apabila pada 2022 dan 2023 Kerajaan Negeri Sabah telah berjaya membawa masuk pelabur asing bernilai lebih RM20 billion ke Sabah.

“Malahan syarikat pengeluar kerajang tembaga untuk bateri kenderaan elektrik (EV) Korea Selatan, SK Nexilis dan SBH Kibing Solar New Materials Sdn Bhd di KKIP telah mula beroperasi.

“Ia sekaligus menyebabkan ribuan anak-anak Sabah telah berjaya bekerja di syarikat terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, di bawah kepimpinan Hajiji, Sabah telah mencatatkan pelaburan berjumlah RM10.175 bilion setakat suku ketiga 2023.

“Ia merangkumi pelaburan dalam sektor utama iaitu pembuatan dan perkhidmatan, sekaligus menjadikan Sabah negeri kelima tertinggi di Malaysia menerima pelabur luar.

“Manakala pada 2022, Sabah berjaya menarik RM11.5 bilion dalam projek pelaburan,” katanya.

Menurutnya, Sabah juga telah menerima pelaburan daripada Syarikat Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd bagi pembangunan sebuah kilang bersepadu klinker dan simen di daerah Tongod kira-kira RM1.11 bilion, bagi fasa pertama.

Sementara itu, beliau tidak menafikan banyak kawasan di Sabah yang memerlukan perhatian khususnya termasuk masalah jalan raya di Ranau, Telupid hingga Lahad Datu.

Selain jalan raya, G57 yakin perancangan jangka masa panjang Kerajaan Negeri Sabah dapat menyelesaikan masalah lain khususnya air dan elektrik.

“Harus diingat Sabah jelas ketinggalan 26 bulan ke belakang, ini disebabkan kegagalan Warisan mengurus tadbir negeri ini dengan baik.

“Ini jelas dapat dilihat semasa Warisan memerintah Sabah dari Mei 2018 sehingga Jun 2020 ironinya tidak ada satu pun pelabur luar yang berjaya dibawa masuk ke Sabah.

Katanya lagi, kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga jatuh menjunam dari 8.2 peratus kepada 0.5 peratus semasa pentadbiran Warisan di negeri itu.

“Masalah pengurusan pembaikan dan pembinaan jalan raya, air dan elektrik juga gagal diurus dengan baik oleh kerajaan Warisan dahulu.

“Justeru Kerajaan GRS dan PH dilihat telah cuba memecut sepantas yang boleh membangunkan Sabah namun misi ini dianggap mustahil dijayakan tanpa sokongan rakyat sokongan oleh rakyat Sabah sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette