Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mempertimbangkan permohonan hampir 100,000 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menuntut pengeluaran secara bersasar.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana wang simpanan KWSP adalah wang pencarum dan bukannya milik kerajaan.

“Maka sepatutnya kerajaan mengambil serius tuntutan dan rayuan mereka untuk menggunakan wang sendiri.

“Pagi ini saya menerima memorandum daripada wakil pencarum-pencarum yang sedang terdesak kerana kesempitan hidup.

“Dalam memorandum yang diserahkan kepada saya, dinyatakan dengan jelas pelbagai cabaran yang mendesak kehidupan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Wan Saiful menerima memorandum daripada tiga badan bukan kerajaan di luar pekarangan bangunan Parlimen.

Antaranya Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat, Global Human Rights Federation, Shashi Kumar dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Wan Saiful juga berkata, kenaikan kos sara hidup mendadak akibat kegagalan kerajaan yang tidak kompeten dan keadaan itu menambah kesusahan pencarum.

“Mewakili rakyat yang sedang tertekan, saya mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran secara bersasar.

“Kriteria sasaran boleh ditentukan oleh kerajaan, termasuklah menyeimbangkan antara keperluan mendesak hari ini dengan keperluan menabung untuk hari tua.

“Jangan pukul rata semua pencarum. Seharusnya perkara ini diperhalusi secara kes demi kes,” katanya lagi. – MalaysiaGazette