Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

KUALA LUMPUR – Polis akan mengambil keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ pada Februari lalu, di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut petang esok.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata,  pegawai khas Ahli Parlimen Marang itu sudah memaklumkan mengenai keadaan  kesihatan wakil rakyat itu kepada polis.

“Susulan itu kita telah menetapkan keterangan diambil esok daripada Abdul Hadi pada jam 2.30 petang esok (Selasa),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan KDNKA serta Pengarah dan Pengerusi PERKEP JSJN PDRM di Dewan Tan Sri Abd Rahman Hashim di Pulapol, di sini, hari ini.

Siasatan terhadap Abdul Hadi dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu Penggunaan Tidak Wajar Kemudahan Rangkaian dan Perkhidmatan Rangkaian.

Siasatan diteruskan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Sebelum ini Razarudin memaklumkan polis telah menyiasat kenyataan Hadi namun belum menetapkan masa untuk merakam keterangan disebabkan tahap kesihatanya yang tidak seberapa mengizinkan.

Siasatan ke atas Abdul Hadi menyusul selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat Abdul Hadi yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Raja-Raja Melayu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi itu bertajuk ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ pada 20 Februari lalu di laman web https://pas.org.my/.

Dalam kenyataan itu, Ahli Parlimen Marang itu secara sinis mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata.

Selangor Royal Office dalam kenyataannya di laman media sosial rasminya memaklumkan Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.

Susulan itu, baginda  mengutus sepucuk surat kepada beliau (Abdul Hadi) menerusi Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri. – MalaysiaGazette