Ahmad Maslan (tengah) merasmikan majlis Sambutan Ulang Tahun ke- 20 Construction Labour Exchange Centre Berhad di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) mencadangkan agar urusan pekerja asing bagi sektor pembinaan diuruskan oleh Construction Labour Exchange Centre Sdn Bhd (CLAB) bagi mengelak lambakan pekerja asing di negara ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, CLAB berkelayakan untuk menguruskan pekerja asing secara bersepadu dan mempunyai sebuah pangkalan data bagi menyimpan maklumat tentang pekerja asing di sektor berkenaan.

Menurutnya, beliau turut mencadangkan agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia agar semua pekerja dalam industri pembinaan diurus oleh CLAB secara bersepadu untuk memastikan segala urusan daripada menemuduga di negara sumber sehinggalah kepada penyediaan tempat tinggal termasuk memastikan pemantauan gaji dan kebajikan pekerja diambil kira.

“KSM dan KDN hanya boleh berusan dengan CLAB tidak perlu berurusan dengan pihak tidak bertanggungjawab yang akan membiarkan pekerja asing ini mengalami kesukaran berdasarkan laporan akhbar sebelum ini.

“Jadi, selama 20 tahun CLAB telah mengurus 221,000 pekerja dan mempunyai pengalaman luas untuk uruskan pekerja dalam sektor pembinaan antara 450,000 hingga 500,000 orang pada satu-satu masa,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas Majlis sambutan Ulang Tahun ke- 20 Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) di sini, hari ini.

Jelasnya, selain pengambilan pekerja, CLAB juga menguruskan pertukaran pekerja daripada majikan yang tidak lagi memerlukan pekerja kepada majikan yang memerlukan .

“CLAB juga terlibat dalam program meregularisasikan pekerja asing tanpa izin di bawah program rekalibrasi,” katanya.

Ahmad berkata, CLAB memainkan peranan dalam menerajui usaha sama dengan penyedia perkhidmatan lain untuk menyediakan penempatan pekerja mengikut standard yang ditetapkan bagi kegunaan industri binaan,

“Saya percaya CLAB dapat membantu kerajaan dalam usaha untuk memantau dan menguatkuasakan undang-undang serta akta sediaada,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif CLAB, Abdul Rafik Abdul Rajis berkata, bagi memastikan pekerja binaan yang disediakan berupaya menjalan kerja-kerja mengikut keperluan majikan, CLAB juga turut mengadakan temuduga dan ujian fizikal terhadap pekerja binaan asing termasuk mengangkat besi,memotong kayu dan juga ujian kecergasan lain.

Menurutnya, CLAB juga memperkenalkan aplikasi E-biodata bagi memberikan kemudahan kepada kontraktor untuk membuat pemilihan biodata pekerja asing memenuhi kriteria yang diperlukan seperti maklumat lengkap individu dan butiran pengalaman pekerja. – MalaysiaGazette