Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika sesi sidang media sewaktu hadir ke Rumah Seri Kenangan, Ulu Kinta, hari ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 04 MAC 2024.

IPOH – Cadangan pelaksanaan Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) menerusi tahanan di rumah tidak langsung melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia sebaliknya semata-mata bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di 43 penjara seluruh negara yang sedang menempatkan 80,000 penghuni.

Tegasnya, usaha itu juga sebagai mengetengahkan nilai ihsan terhadap pesalah-pesalah dalam kes tertentu seperti ibu mengandung dan warga emas yang uzur.

“Hari ini saya terbaca komen nakal yang tidak melihat ke arah perspektif usaha kita hendak mengurangkan kesesakan di penjara.

“(Sekiranya ia dilaksanakan nanti) sudah pasti ia melibatkan kategori tertentu yang melibatkan penilaian dari pelbagai aspek termasuk jenis kesalahan dan seperti yang dihukum hukuman penjara kurang empat tahun.

‘Jika melibatkan kesalahan penjara lebih 20 tahun yang membabitkan kesalahan berat, kita tidak akan senang-senang beri penahanan di rumah kerana ia mengancam masyarakat. Kita pun reti juga buat perkara ini,” katanya.

tahanan di rumah Saifuddin Najib penjara Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tahanan di rumah Saifuddin Najib penjara Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution beramah mesra bersama penghuni warga emas sewaktu hadir ke Rumah Seri Kenangan, Ulu Kinta, hari ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 04 MAC 2024.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di RUmah Seri Kenangan Ulu Kinta, dekat sini, pada Isnin.

Tambah Saifuddin, beliau menyifatkan ‘komen nakal’ segelintir pihak terhadap pelaksanaan tahanan di rumah itu sebagai kesimpulan awal yang dibuat secara tidak bertanggungjawab.

Jelas beliau, pelaksanaan kaedah itu juga sebagai antara usaha mengurangkan kesesakan penjara sebagaimana kaedah-kaedah sedia ada seperti melalui Sistem Parol, dan Perintah Kehadiran Wajib (PKW).

Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan, setakat ini tiada sebarang tempoh pelaksanaan akan ditetapkan memandangkan ia masih berada di peringkat awal pengumuman.

“Selepas ini, kita akan semak akta sedia ada untuk melihat sekiranya perlu diadakan sebarang pindaan terhadap undang-undang sedia ada.

“Kita hendak melihat adakah ia juga melibatkan sebarang kuasa oleh pengarah penjara ataupun menteri. Namun begitu, perbincangan lanjut akan diadakan dengan semua pihak berkepentingan agar objektif asal pelaksanaanya akan tercapai,” ujarnya lagi.

tahanan di rumah Saifuddin Najib penjara Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tahanan di rumah Saifuddin Najib penjara Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution (tengah) menyerahkan susu dan lampin untuk penghuni warga emas di Rumah Seri Kenangan, Ulu Kinta, hari ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 04 MAC 2024.

Pada Sabtu media melaporkan, kerajaan secara prinsip bersetuju untuk memulakan PBSL menerusi tahanan di rumah kepada banduan yang menjalani hukuman empat tahun dan ke bawah sebagai usaha mengurangkan kesesakan penjara.

Saifuddin dilaporkan berkata menerusi program sedemikian seperti Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib serta Program Pemulihan Pemasyarakatan, kerajaan bukan sahaja dapat menangani masalah kesesakan penjara malah ia sebagai langkah penjimatan kepada negara.

Pengumuman itu mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Isham Jalil yang dilaporkan meminta penjelasan sama ada perkara berkenaan akan terpakai kepada Najib atau sebaliknya. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast