Mohamad Alamin

KUALA LUMPIR – Kerajaan akan sentiasa konsisten dalam mengeluarkan kenyataan dalam mesyuarat-mesyuarat dua hala dan pelbagai hala seperti di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan juga ASEAN bagi memperjuangkan isu Palestin

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia tidak pernah berganjak daripada menyuarakan enam tuntutan utama termasuklah gencatan senjata serta-merta dan bantuan kemanusiaan segera dan menghentikan aktiviti penempatan oleh Israel dan tindakan keganasan penduduk haram.

“Menghentikan serta-merta pemindahan orang awam Palestin secara paksa; siasatan ke atas semua pelanggaran undang-undang antarabangsa melalui institusi perundangan antarabangsa; menyokong Inisiatif Keamanan Arab dan rundingan Penyelesaian Dua Negara berdasarkan garis sempadan pra1967 dan memerangi peningkatan global dalam Islamofobia,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh (Pakatan Harapan).

Tambahnya, Malaysia juga menyokong penuh cadangan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengadakan persidangan keamanan antarabangsa dalam usaha membangun pelan hala tuju ke arah penyelesaian dua negara untuk konflik Israel-Palestin.

Dalam masa yang sama, Mohamad Alamin memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin melalui sumbangan daripada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) kepada agensi kemanusiaan yang terlibat.

“Malaysia turut mengusulkan Palestin untuk diterima masuk sebagai anggota penuh  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Sebagai tanda solidariti kepada Palestin, Kempen Pengiriman Poskad Khas kepada Setiausaha Agung PBB turut dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 17 Januari 2024 bagi menyuarakan aspirasi rakyat Malaysia menuntut keadilan dan keamanan di Palestin,” tambahnya.

Mohamad berkata, beliau akan mewakili  Wisma Putra pada Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah. – MalaysiaGazette