KUALA LUMPUR – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pulangkan Duit Rakyat hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu khususnya pemimpin negara yang terlibat dengan salah laku rasuah.

Jurucakapnya, Ariffin Abu Bakar berkata, SPRM perlu melakukan siasatan yang berat sebelah, terutama yang menyebabkan kehilangan duit rakyat hingga mencecah berbilion ringgit.

“Kami NGO Gabungan tertanya-tanya apakah langkah seterusnya SPRM tentang kes Tun Daim Zainuddin sebab kita di bawah ini tertanya-tanya dalam keadaan ekonomi yang teruk ini.

“Kita perlukan jawapan kerana rakyat tertanya-tanya, kita minta SPRM telus dan tidak teragak-agak mengambil tindakan dan tidak pilih bulu mana-mana warganegara Malaysia.

“Sekiranya betul mereka terlibat dengan skandal (kewangan), kita minta untuk pulangkan duit rakyat agar kami tidak tertanggung dengan harga yang tinggi dan ringgit makin jatuh,” katanya pada sidang media, di luar pekarangan Menara Ilham, di sini, hari ini.

Jurucakap NGO Pulangkan Duit Rakyat, Ariffin Abu Bakar selepas sidang media di luar pekarangan Menara Ilham, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, media melaporkan Daim yang juga bekas Menteri Kewangan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset.

Daim, 85, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, 28 Januari lalu.

Harta itu membabitkan aset antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar, 38 syarikat dan 25 hartanah serta tanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Kedah.

Menurut Ariffin, pihaknya tidak berhasrat untuk mencampuri urusan dan siasatan SPRM serta proses pendakwaan di mahkamah, namun rakyat perlu mengetahui perkembangan semasa siasatan ke atas Daim.

“Kami tiada hasrat untuk campur mana-mana urusan pihak berkuasa, tapi kami rakyat di bawah terasa yang kami hadap ini.

“Kami sendiri tak berapa percaya dengan orang politik, kami sebagai NGO bangkit untuk tahu apa yang sedang berlaku.

“Kalau mengharapkan orang politik, mungkin ada tangan ghaib, kami tak mahu berlaku perkara itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast