Orang kurang upaya (OKU), Muhammad Helmi Firdaus Abdul Halid, 23, membuat pertukaran dengan menaiki kerusi roda semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bandar Kirara, Selangor. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pengisian orang kurang upaya (OKU) dalam perkhidmatan awam dalam tempoh 10 tahun sejak 2014 sehingga hari ini masih gagal mencapai satu peratus.

Namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, terdapat peningkatan terhadap jumlah tersebut, saban tahun.

“Tahun 2014 (0.23 peratus); tahun 2015 (0.25 peratus); tahun 2-16 (0.28 peratus): 2017 sehingga 2022 (0.29 peratus) manakala 0.3 peratus pada tahun 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim (Perikatan Nasional) dalam Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Zaliha, peratusan permohonan pekerjaan dalam sektor awam dalam kalangan OKU yang tidak sampai satu peratus menjadi punca matlamat tersebut gagal dicapai sehingga kini.

Mengulas lanjut, katanya, Kajian Kepuasan Bekerja Dalam Kalangan Penjawat Awam OKU yang dijalankan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendapati golongan tersebut berhadapan dengan cabaran berkaitan keupayaan kompetensi penjawat awam dalam menyesuaikan diri dengan penyelia, rakan sekerja, dan persekitaran organisasi di tempat. mereka berkhidmat;

Tambah Zaliha, golongan OKU juga didapati sering merasa tertekan dengan tuntutan kerja dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik disebabkan keupayaan mereka yang terbatas.

Selain itu, aspek penerimaan ketua jabatan untuk menyediakan sokongan dan kemudahan yang diperlukan bagi penjawat awam OKU.

Sehubungan itu katanya, kerajaan bersedia untuk menambah baik pelaksanaan dasar itu pada masa akan datang.- MalaysiaGazette