M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti untuk mewujudkan sebuah agensi berpusat khusus bagi perkara berkaitan dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, ia merangkumi pindaan dan penambahbaikan akta tersebut yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini.

Jelas beliau, agensi berpusat itu akan menjadi mekanisme penerimaan dan pelaksanaan siasatan berdasarkan aduan mengenai kelakuan tidak wajar terutama melibatkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Katanya lagi, agensi berpusat itu kelak akan memfokuskan kepada tatacara kerja yang lebih teratur dan jelas dalam masa yang sama memastikan tiada pertindihan berlaku dengan agensi penguatkuasaan.

“Kerajaan buat masa ini sedang meneliti cadangan mekanisme pemusatan penerimaan aduan kelakuan tidak wajar dan perlindungan pemberi maklumat di bawah Akta 711, cadangan pindaan.

“Penambahbaikan ini akan membolehkan pelaksanaan perlindungan pemberi maklumat secara eksklusif, efektif dan mampu seterusnya mampu mewujudkan suasana neutral lebih telus dan berkecuali dalam mengendalikan semua aduan kelakuan tidak wajar dari pemberi maklumat.

“Cadangan ini melibatkan penubuhan sebuah agensi berpusat yang khusus dengan latihan tatacara pengendalian yang khas kepada perlindungan pemberi maklumat serta mampu menyelesaikan semua perkara berkaitan Akta 711.

“Ini memastikan fokus kepada tatacara kerja yang lebih teratur dan jelas kepada kedua-dua agensi berpusat dan agensi penguatkuasaan supaya tidak keliru bidang tugas kedua-duanya,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Buki Gelugor, Ramkarpal Singh A/L Karpal Singh (Pakatan Harapan).

Menurut beliau, pindaan terhadap akta tersebut akan melibatkan perubahan utama terhadap beberapa seksyen secara khusus selain secara am.

Terdahulu katanya, usaha pindaan dan penambahbaikan Akta 711 sudah bermula sejak tahun 2019 menerusi pelbagai langkah termasuklah mesyuarat sesi jawatankuasa kerja, bengkel, libat urus dan taklima yang melibatkan pelbagai pihak termasuklah pemegang taruh dan badan bukan kerajaan (NGO).

Selain itu sesi-sesi libat urus ini turut menilai badan-badan yang diperuntukkan kuasa terhadap mekanisme pelaksanaan dan implikasi yang mungkin berbangkit apabila pindaan dilaksanakan, katanya lagi.

Sementara itu, Kulasegaran berharap, pindaan berkenaan akan dapat menangani defisit kepercayaan masyarakat terhadap perlindungan pemberi maklumat bersabit perbuatan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast