KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih baharu skuad hoki kebangsaan Sarjit Singh bersedia memberi peluang kepada pemain veteran, membuktikan kemampuan mereka untuk kembali membarisi skuad Speedy Tigers.

Beliau yang pernah menggalas tugas sama pada tahun 2006 hingga 2008 dan dilantik semula semalam bagi menggantikan ketua jurulatih sebelum ini A. Arul Selvaraj, percaya usia bukanlah penghalang kepada mana-mana pemain untuk menampilkan prestasi cemerlang, dalam skuad hoki negara.

Sarjit berkata, disiplin dan kegigihan menjadi keutamaan, untuk barisan kejurulatihan memilih pemain yang akan membarisi skuad Speedy Tigers.

“Yang pertama sekali saya kena akses kepada pemain dan pasukan, akses itu penting. Sekarang, liga masih berlangsung dan kita mahu bagi peluang kepada semua. Kita mahu pemain yang boleh bagi nilai tambah kepada pasukan.

“Kita akan tengok pemain lama juga, kalau dia main 300 kali untuk negara dan masih boleh bermain, kenapa tidak? Sekarang, kita akan buka untuk semua, campuran pemain lama dan baharu,” katanya pada sidang media Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sarjit berkata, beliau memerlukan masa 14 hingga 18 bulan untuk membentuk skuad yang ‘ampuh’ dan dilengkapi pemain bertaraf antarabangsa, untuk bersaing di peringkat tertinggi.

Sementara itu, Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Sarjit turut bakal diberikan peranan untuk mengendalikan skuad remaja kebangsaan, selain perlu melihat keseluruhan ekosistem skuad hoki negara.

“Sekarang Sarjit diberikan masa untuk kemukakan barisan kejurulatihannya, salah seorang pembantunya akan memainkan peranan untuk menjaga skuad remaja kebangsaan selepas ini,” katanya. – Bernama