Keganasan yang berlaku di Haiti. Foto Fox News

PORT-AU-PRINCE –  Empat pegawai polis maut dan lima cedera dalam insiden serangan  bersenjata oleh kumpulan kongsi gelap di penjara utama di sini.

Menurut media tempatan,  kira-kira 4,000 orang banduan telah melarikan diri. 

Keganasan di Haiti, negara termiskin di Amerika, semakin huru-hara susulan pembunuhan presidennya, Jovenel Moise pada tahun 2021.

Antara mereka yang ditahan merupakan ahli kumpulan yang didakwa ada kaitan dengan kes pembunuhan tersebut.

Seorang sukarelawan penjara memberitahu, 99 banduan termasuk bekas tentera Columbia yang dipenjarakan atas pembunuhan presiden Moise memilih untuk kekal di dalam sel kerana takut terbunuh dalam insiden keganasan itu.

Tiga banduan yang cuba melarikan diri ditemui mati di perkarangan penjara.

Kumpulan pengganas yang mahu menggulingkan Perdana Menteri, Ariel Henry, bermaharajalela dan menguasai hampir 80% sebahagian besar Port-Au-Prince.

Keganasan bermula pada hari Khamis lalu, ketika perdana menteri ke Nairobi bagi meminta bantuan Kenya.

Kedutaan Perancis di Haiti menasihatkan rakyatnya supaya tidak melakukan perjalanan ke negara ini.

Pada Januari, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan jumlah mangsa keganasan di Haiti meningkat lebih dua kali ganda daripada tahun 2022 iaitu lebih 8,400 mangsa.- Agensi