Gambar hiasan

SEPANG – Syarikat penerbangan boleh mula mengenakan levi karbon sebaik sahaja pindaan kepada Peraturan-Peraturan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Kod Tatakelakuan) 2018 dimuktamadkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada April, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata, kerajaan tidak memungut levi karbon itu, sebaliknya dilaksanakan oleh syarikat penerbangan untuk mengimbangi pelepasan karbon.

“Dasar kami berbeza dengan Singapura yang menjadikannya mandatori; kami menjadikannya sebagai pilihan. Ia bergantung kepada syarikat penerbangan – sama ada syarikat penerbangan tempatan atau antarabangsa yang masuk dan keluar dari Kuala Lumpur – sama ada untuk mengenakannya (levi karbon),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan tambang tetap AirAsia untuk penerbangan lewat malam antara Semenanjung dan Malaysia Timur bersempena dengan sambutan Hari Raya akan datang.

Loke berkata, mekanisme yang telus diperlukan untuk melihat bagaimana syarikat penerbangan membelanjakan levi.

Pada 23 Februari, Loke dilaporkan berkata, Kementerian Pengangkutan telah mencapai persetujuan pada dasarnya untuk membenarkan syarikat penerbangan mengenakan bayaran tambahan bagi menampung pelepasan karbon masing-masing.

Beliau berkata, syarikat penerbangan tertentu akan menggunakan bayaran fi berkenaan untuk membeli bahan api penerbangan mampan, manakala yang lain akan membayar kredit karbon untuk mengimbangi pelepasan karbon masing-masing.

Menurut Loke, levi karbon merupakan obligasi antarabangsa dan terpakai kepada semua syarikat penerbangan, bukan sahaja di Malaysia, untuk menyumbang kepada Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd., Tan Sri Tony Fernandes berkata, kerajaan dan syarikat ofset karbon digalakkan untuk memulakan projek di Malaysia atau Asean bagi memastikan proses yang telus. – Bernama