KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji penetapan gaji premium untuk lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada kadar RM4,000 ke atas sebagai usaha mengiktiraf golongan pelajar berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu sedang ditambah baik menerusi kerangka Dasar TVET Negara yang akan dilancarkan pada 2 Jun ini.
“(Menerusi dasar) ini kita wujudkan hanya sebuah pusat pengiktirafan TVET supaya tidak timbul kekeliruan dan cacamarba dari segi pengiktirafan.
“Kita juga melihat dari segi gaji, terdapat saranan gaji premium itu bukan berdasarkan gaji minimum, tetapi satu tahap lebih tinggi yang dicadangkan RM4,000 ke atas dan ini secara tak langsung akan menggalakkan pelajar-pelajar masuk ke institusi TVET,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan merangka akta gaji khusus untuk lepasan TVET berdasarkan kelayakan individu bagi pengiktirafan TVET setanding kelayakan akademik lain.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata program TVET juga akan dimulakan lebih awal iaitu selepas Tingkatan 3 dengan kolej vokasional dan teknikal akan menjadi pembekal (feeder) kepada institusi TVET.
“Mereka (pelajar) akan dapat mengambil diploma dan ijazah dua tahun lebih awal daripada rakan-rakan lain dan ini penggalakan yang sedang dilakukan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) mengenai potensi TVET aras tinggi, Ahmad Zahid berkata pelbagai kerjasama melibatkan institusi pendidikan awam dan swasta termasuk 17 kerjasama dengan beberapa negara dilaksanakan bagi meningkatkan pendidikan TVET aras tinggi.
Beliau berkata, antaranya melibatkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
“Kita juga menerobos kerjasama yang baharu dengan pihak Turkiye, China, Korea, Perancis, Sepanyol, Jepun, Jerman dan beberapa negara lain. Kita tidak perlu peruntukan tambahan atau bangunan baharu tetapi kita sesuaikan dengan kemudahan yang ada ini dan kita lakukan ‘’training for trainers’”.
“Kita wujudkan ini kerana mereka yang tidak cemerlang dalam bidang pendidikan, tidak dinafikan untuk memperoleh ijazah dan kursus-kursus yang lebih tinggi daripada itu,” katanya. – BERNAMA