KUALA LUMPUR – Polis menafikan kenyataan penganjur perhimpunan Hari Wanita Sedunia yang mendakwa pihaknya tidak melayan notis pemakluman yang dihantar sebanyak empat kali.

Sebaliknya Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, borang pemakluman yang telah dihantar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Women’s March Malaysia kepada pihaknya sebenarnya tidak lengkap.

“Mereka mendakwa ada hantar notis pemakluman sebanyak empat kali tetapi kita mendapati hanya terima notis yang pertama dia hantar dan itu pun tidak lengkap..notis dua, tiga dan empat itu kita tidak tahu hantar ke mana.

“Kalau kita buat permohonan, perlu memenuhi 14 perkara yang dalam borang undang-undang terbabit (notis pemakluman) yang dikehendaki dalam Seksyen 10 APA.

“Kalau kamu (penganjur) isi sembilan sahaja, lima yang lain sekadar palang dan edit (pinda) dan hantar dengan tandatangan kepada kami bermakna borang itu tidak lengkap dan sempurna untuk diproses lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita dalam sidang media Majlis Sumbangan Peralatan Persekolahan Murid Darjah 1, Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Allaudeen menambah sebarang pemakluman berhubung penganjuran perhimpunan perlu dilakukan lima hari lebih awal seperti termaktub undang-undang ditetapkan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 .

Jelasnya, semua pihak yang ingin berhimpun perlu menyerahkan notis pemakluman iaitu borang dalam jadual undang-undang (Seksyen 10 APA 2012).

“Bukan uar-uarkan dalam Facebook, WhatsApp dan tempek di dinding. Ini notis secara sah, pemakluman, bukan permit, sudah lama tidak wujud. Ada orang ramai keliru dengan sebut permit, kemudian dakwa polis cakap permit.

“Kita tak pernah kata permit. Bila polis kata tidak boleh bagi permit sedangkan ia tidak wujud. Kami tidak boleh bagi sesuatu yang tidak ada dalam undang-undang iaitu permit sebab ia sudah dimansuhkan di bawah Akta Polis pada 2011,” ujarnya.

Selain itu, menurutnya, semua pihak mempunyai hak berhimpun di bawah Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan iaitu menjamin kebebasan orang ramai untuk berhimpun dan polis tidak pernah menafikan hak itu.

Jelas beliau, semua orang ada hak berhimpun sementara hak kepentingan pihak awam lain juga terlibat dan menjadi tanggungjawab polis untuk memastikan selain himpunan berjalan aman serta tidak menganggu kehidupan orang lain selain kelancaran trafik yang dianggap mustahak.

“Jadi sila beri kerjasama. Semua nak menganjur perlu bekerjasama dengan pihak polis. Apa jua awak dah WhatsApp, e mel ke, undang-undang tidak terpakai begitu.

“Kami juga arif perlembagaan dan kami (polis) wujud selama 217 tahun jadi sila hormati kami. Lepas dapat permohonan itu kita ada tanggungjawab polis juga iaitu akan semak Seksyen 11, 12, 13, 14 dan 15 dalam APA 2012.

“Seksyen 15 menyatakan tentang syarat yang polis akan gunakan untuk memperhalusi permohonan itu jika perlu akan tuntut ubah tempat jika dirasakan tidak sesuai manakala Seksyen 11 jelas menuntut kebenaran atau kelulusan tuan tanah diperlukan,” katanya.

Menurutnya, polis merupakan penguat kuasa undang-undang yang akan melaksanakan seperti dikehendaki dalam undang-undang dan bukannya penterjemah (tugas mahkamah).

“Jadi, kita tidak dibenarkan membaca secara tersirat, lateral, golden rule or what ever rule tak boleh sama sekali,” katanya lagi.

Menurutnya, ketiadaan kelulusan tuan tanah untuk ruang penganjuran sesebuah himpunan hanya akan mengakibatkan laporan polis yang kemudian akan mencetuskan konflik kepentingan.

“Sekiranya semua proses itu dipenuhi termasuk menyelesaikan bayaran (jika perlu), Kalau lengkap kita bantu, jika tidak lengkap (notis pemakluman) polis tetap akan terus facilitate perhimpunan dengan menugaskan pegawai memantau bagi mengawal ketenteraman awam yang pada akhirnya akan membuat laporan dan membuka kertas siasatan,” katanya.

Kelmarin, WMMY mendakwa pihaknya telah berusaha empat kali iaitu pada 2 dan 3 Mac, untuk memohon kebenaran polis bagi mengadakan perhimpunan yang dijadualkan Sabtu ini di hadapan Sogo namun ditolak tanpa sebarang alasan.- MalaysiaGazette