Norena menunjukkan antara barangan bersubsidi dirampas di sebuah kedai runcit di Melaka Raya, Banda Hilir, Melaka hari ini.

MELAKA – Pihak berkuasa berjaya membongkar satu taktik penyalahgunaan dan penjualan barang bersubsidi berjumlah hampir satu tan dipercayai didalangi kedai runcit haram milik sebuah restoran mamak di Melaka Raya, Banda Hilir, di sini, hari ini.

Tindakan licik pengusaha kedai runcit yang baharu beroperasi 10 hari lalu itu dibongkar selepas diserbu sepasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka pukul 11.30 pagi.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, lebih mengejutkan, ketika pemeriksaan, pemilik kedai runcit berkenaan cuba melakukan sogokan kepadanya dan penguatkuasa supaya tidak dikenakan tindakan.

Semua barangan bersubsidi dirampas termasuk 493 kilogram minyak masak peket, 50 peket tepung gandum satu kilogram, 276 peket gula pasir dan dua tong gas LPG.

“Amat mengejutkan kerana ini adalah kali pertama serbuan kami menjumpai modus operandi (MO) pemilik restoran membuka sebuah kedai runcit tidak berlesen bersebelahan premisnya itu.

“Hasil pemeriksaan, kedai runcit ini tidak mempunyai lesen pihak berkuasa tempatan dan lesen pemborong dan MO terbaharu ini bagi mengelak perbuatan mereka dihidu KPDN

“Kita percaya, pemilik membekalkan barangan bersubsidi seperti tepung, gula dan minyak masak ke restoran sama termasuk dijual pada harga lebih mahal kepada pengguna,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Norena Jaafar

Mengulas lanjut, Norena berkata, semua barangan bersubsidi yang dirampas dianggarkan berjumlah 845 kilogram bernilai kira-kira RM2,000 termasuk minyak masak yang boleh digunakan hampir 200 isi rumah.

“Kita juga akan melakukan siasatan terhadap pemborong barangan bersubsidi terhadap peruncit ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terbukti melakukan kesalahan.

“KPDN Melaka akan terus memantau restoran-restoran di negeri ini bagi memastikan tiada MO serupa dilakukan pemilik dengan membuka kedai runcit untuk menguna pakai barang kawalan bersubsidi sewenang-wenangnya,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan premis gagal mengemukakan sebarang dokumen permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual. – MalaysiaGazettte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast