Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Na'im Mokhtar bergambar bersama penerima sumbangan ketika Majlis Persidangan Pengurusan Masjid dan Surau, Penyampaian Bantuan Ihya' Ramadan dan Tauliah Amil Zakat Fitrah Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan. Foto SYADILA AMARI, 05 MAC 2024,.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara Wilayah Persekutuan Kali ke-143 menetapkan tiga kadar zakat fitrah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, bayaran RM7 dikenakan ke atas  pengguna beras super special tempatan dan beras import biasa iaitu kekal sama tahun lalu.

Manakala RM15 seorang bagi pengguna beras import premium dan RM22 seorang bagi pengguna beras basmathi yang menyaksikan masing-masing meningkat RM1 berikutan kenaikan harga semasa.

Bagi memudahkan orang ramai menunaikan tuntutan membayar
zakat fitrah pada tahun ini, seramai 75 orang Ketua Penolong Amil dan 867 Penolong Amil telah dilantik.

“Zakat fitrah juga boleh ditunaikan menerusi amil-amil yang dilantik oleh MAIWP yang akan membuka kaunter-kaunter kutipan di pelbagai lokasi di sekitar Wilayah Persekutuan.

“Termasuk 11 kaunter zakat PPZMAIWP, selain di masjid-masjid, surau-surau, pasar raya dan beberapa lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai di seluruh Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Persidangan Pengurusan Masjid Dan Surau, Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan Dan Tauliah Amil Zakat Fitrah Wilayah Persekutuan Tahun 1445H/2024M di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Pada majlis itu Mohd. Naim turut menyampaikan tauliah Amil Zakat Wilayah Persekutuan disampaikan kepada Ketua Penolong dan Penolong Amil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Na’im Mokhtar merasmikan Persidangan Pengurusan Masjid dan Surau, Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan dan Tauliah Amil Zakat Fitrah Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan. Foto SYADILA AMARI, 05 MAC 2024,.

Beliau turut melancarkan Pelan Warta Persempadanan Kariah Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan bagi meningkatkan keberkesanan tadbir urus kariah masjid pada masa akan datang.

Pelan berkenaan dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 15 Januari 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Na’im Mokhtar ketika menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Kerjasama di antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diwakili Ketua Pengarah JAKIM, Datin Hakimah Mohd Yusof dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang diwakili Timbalan Naib Canselor, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim & Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang diwakili Naib Canselor, Datuk TS Dr Mohd Zamri Yusoff sempena Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran di Masjid Wilayah Persekutuan. Foto SYADILA AMARI, 05 MAC 2024,.

Sementara itu dalam majlis berasingan Mohd. Naim menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) bagi pelaksanaan Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran.

Dokumen ditandatangani oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Profesor Dr. Zulkifilie Ibrahim dan Naib Canselor UNITEN Profesor Dato’ Ts. Dr. Mohd ZamriYusoff.

Program kerjasama antara JAKIM-UTeM ini telah bermula sejak tahun 2017 manakala kerjasama antara JAKIM-UNITEN pula telah bermula sejak tahun 2013. – MalaysiaGazette