Dari kiri, Vivian Wong Shir Yee; ahli PAC, Wan Suraya Wan Mohd Radzi; Ketua Audit Negara, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin; Pengerusi PAC dan Datuk Ali Anak Biju; ahli PAC.

KUALA LUMPUR – Sebanyak empat agensi Persekutuan masih belum mengemukakan Penyata Kewangan tahun 2022 disebabkan gangguan rangkaian sistem kewangan dan kelewatan pelantikan pengerusi lembaga pengarah.

Sebanyak 116 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan tahun 2022 telah diberikan Sijil Ketua Audit Negara dengan pendapat tanpa teguran.

Seterusnya, 14 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan telah diberi Sijil Ketua Audit Negara dengan pendapat diubahsuai, iaitu 13 pendapat berteguran dan satu pendapat bertentangan.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, agensi Persekutuan yang lemah dari segi penyediaan penyata kewangan juga diberi perhatian dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 terutama yang mendapat Sijil Ketua Audit Negara dengan pendapat diubahsuai bagi tempoh tiga tahun berturut-turut, iaitu dari tahun 2020 hingga 2022.

Antara lain, agensi-agensi ini tidak mematuhi piawaian perakaunan, penyelenggaraan rekod kewangan yang lemah dan mempunyai masalah sistem kewangan.

Daripada 130 penyata kewangan yang beraudit, perhatian khusus perlu diberi kepada prestasi kewangan agensi Persekutuan bagi lebihan atau kurangan semasa, aset dan liabiliti, geran Kerajaan Persekutuan, pinjaman serta pelaburan dalam syarikat subsidiari seperti berikut:

a. 80 Agensi Persekutuan mencatatkan lebihan semasa berjumlah RM54.677 bilion dan 50 Agensi Persekutuan merekodkan kurangan semasa berjumlah RM4.570 bilion.

b. 126 Agensi Persekutuan mempunyai jumlah aset lebih tinggi berbanding jumlah liabiliti manakala empat Agensi Persekutuan menunjukkan jumlah liabiliti yang lebih tinggi berbanding jumlah aset.

c. 86 Agensi Persekutuan menerima geran mengurus dan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM27.034 bilion, manakala 83
Agensi Persekutuan mempunyai baki geran pembangunan terkumpul yang belum dilunaskan berjumlah RM25.535 bilion.

d. 10 Agensi Persekutuan mempunyai baki pinjaman tertinggi berjumlah RM122.388 bilion. Sebanyak empat daripada 10 agensi tersebut
mempunyai baki pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM5.338 bilion. Manakala tiga daripada empat Agensi Persekutuan
tersebut telah menjadualkan semula tempoh bayaran balik pinjaman.

e. 53 Agensi Persekutuan mempunyai 234 syarikat subsidiari dengan nilai pelaburan berjumlah RM56.128 bilion. Daripada jumlah tersebut, 212 syarikat subsidiari berstatus aktif manakala 22 syarikat subsidiari berstatus dorman.

Selain itu, 121 syarikat subsidiari mencatatkan keuntungan manakala 91 syarikat subsidiari mengalami kerugian.

Hanya 66 daripada 212 syarikat subsidiari yang aktif telah membayar dividen kepada agensi Persekutuan sejumlah RM1.910 bilion pada tahun 2022.

Menurut beliau, laporan ini memberikan penekanan terhadap perkara material dan signifikan yang memberi kesan kepada prestasi kedudukan kewangan agensi Persekutuan.

Fokus Utama Audit bagi penyata kewangan tahun 2022 adalah berkaitan isu usaha berterusan (going concern), penjejasan nilai pelaburan dan pembayaran dividen kepada pencarum seperti berikut:

a. Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menghadapi isu usaha berterusan (going concern)
berdasarkan tahap keberhutangan dan kebergantungan kedua-dua agensi tersebut kepada bantuan Kerajaan (sama ada dalam bentuk geran, pinjaman atau jaminan).

b. Pelaporan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah berkaitan penjejasan nilai pelaburan dalam dua syarikat subsidiari dan pembayaran dividen berasaskan keuntungan bukan tunai kepada pencarum.

Menerusi LKAN pada kali ini, Ketua Audit Negara telah mengemukakan 16 syor kepada Agensi Persekutuan bagi tujuan penambahbaikan. Antara lain, Ketua Audit Negara mengesyorkan:

a. Ketua Agensi Persekutuan hendaklah mengemukakan Penyata Kewangan untuk diaudit mengikut tempoh yang ditetapkan.
b. Memastikan geran dibelanjakan mengikut tujuan dalam tempoh yang ditetapkan.
c. Pinjaman yang dibuat oleh Agensi Persekutuan dijelaskan mengikut jadual bayaran balik yang ditetapkan supaya tidak membebankan Kerajaan Persekutuan yang perlu menanggung kos kewangan melebihi tempoh sepatutnya.
d. Mengkaji semula penubuhan syarikat subsidiari yang dorman, mengalami kerugian, dan tidak memberi pulangan yang sewajarnya.

Secara umumnya, LKAN melaporkan pengurusan kewangan dan tatakelola wang awam Agensi Persekutuan. Segala kelemahan dan ketidakpatuhan oleh mana- mana pihak yang diaudit akan dilaporkan bersama-sama dengan syor oleh Ketua Audit Negara bagi tujuan penambahbaikan pada masa akan datang. – MalaysiaGazette