Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).

BAYAN LEPAS – Seorang konstabel polis terpaksa menerima tujuh jahitan di tangan kiri akibat tertusuk kayu ketika bergelut dengan penagih dadah yang cuba melarikan diri di Teluk Kumbar dekat sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, anggota berusia 28 tahun dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya itu dikatakan terbabit dalam Ops Tapis yang dijalankan serentak seluruh negara.

“Sepasukan polis BSJN termasuk anggota tersebut menyerbu ‘port ketum’ di belakang sebuah kedai di kawasan tersebut kira-kira jam 4 petang.

“Suspek yang menyedari kehadiran polis melarikan diri dan anggota terbabit mengejarnya sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Impak pergelutan itu menyebabkan anggota berkenaan mengalami kecederaan di tapak tangan bahagian kiri sekali gus terpaksa menerima tujuh jahitan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, anggota terbabit kini berada dalam keadaan stabil dan diberikan cuti sakit oleh pihak doktor selama tiga hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast