Dewan Undangan Negeri Kelantan

KOTA BHARU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang bersidang hari ini meluluskan usul untuk menggubal semula 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 yang diisytihar batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb lepas.

Usul itu, yang dicadangkan Ahli DUN (ADUN) Melor Wan Rohimi Wan Daud (Pas), disokong oleh semua ADUN termasuk dua daripada blok pembangkang.

Yang Dipertua DUN Datuk Mohd Amar Abdullah, ketika membenarkan usul itu dibentang, memaklumkan bahawa ia memenuhi tiga syarat iaitu mustahak, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.

Terdahulu, Wan Rohimi berkata, masih ada ruang penambahbaikan dan semakan semula peruntukan yang dibatalkan itu bagi membolehkan ia dibentang semula.

Beliau berkata, adalah tidak wajar bagi Dewan untuk berputus asa dalam mempertahan bidang kuasa yang dimiliki sebagai kuasa legislatif dalam hal berkaitan agama Islam.

“Usul berkenaan juga selaras dengan titah Sultan Kelantan Sultan Muhamad V dalam memastikan perundangan dari institusi negeri dipertahan dan diperkasakan,” katanya semasa Persidangan Penggal Kedua DUN Kelantan Ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Sebelum ini, panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membuat keputusan membatalkan enakmen terbabit selepas membenarkan petisyen seorang peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman. – BERNAMA

 

2 Komen

  1. Syabas DUN Kelantan, harap dapat gubal undang2 yang lebih kemas, mantap dan tidak boleh lagi dapat dicabar! Kelantan, Trengganu, Kedah dan Perlis jadilah model negeri2 tebaik dalam menjalankan hukum2 syariah.

    Penguatkuasaan hukum2 syariah perlulah diperluaskan segera dan ianya mendapat pujian rakyat. InsyaAllah Selangor, Pahang, Perak, Melaka dan N Sembilan akan menyusur dlm waktu terdekat.

  2. Mana2 rakyat yang tidak berpakaian sopan perlulah dihukum dengan segera.

    Judi, arak, pelacuran, macau scam dan pemerdagangan manusia perlulah dibenteras sehingga keakar umbi. Diharap pihak polis, Datuk Ayob dapat memberi kerjasama penuh kepada pemimpin2 negeri.

Comments are closed.