Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir bagi mendengar keputusan rayuan terhadap sabitan dan hukuman bagi sembilan pertuduhan rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 06 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad daripada sembilan pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM3.09 juta terhadap pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah sebulat suara menerima permohonan rayuan Mohd Isa.

Hakim mendapati rayuan yang dikemukakan oleh Mohd Isa mempunyai merit dan keputusan sabit salah serta jatuh hukum oleh Mahkamah Tinggi telah diketepikan.

Keputusan itu juga diterima dengan senyuman oleh Mohd Isa dalam mahkamah manakala para penyokong serta keluarganya berteriak kegembiraan.

Pada 14 Disember 2018, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum kes itu dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi bermula 8 Oktober 2019.

Beliau disabitkan salah oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Ketika kesalahan itu dilakukan pada Julai 2014 hingga Disember 2015, Mohd Isa merupakan Pengerusi Felda.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 54 tahun serta denda RM15.45 juta.

Mahkamah juga menetapkan tambahan penjara 18 tahun jika beliau gagal membayar denda tersebut.

Namun Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya semua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Ketika membuat rayuan, peguam bela Mohd Isa mendakwa anak guamnya perlu dilepas dan dibebaskan kerana tidak ada sebarang bukti mengaitkan beliau telah menerima wang rasuah itu. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Hakim terdahulu ialan hakim Nazlan! Hakim sama yg sabitkan DS Najib bersalah kerana menderma kepada rakyat…hakim sama yg buat keputusan berasaskan ‘if’ atau tanggapan semata2 dan bukan fakta…hakim sama yg mempunyai konflik kepentingan kerana menjadi peguam Maybank tp tak nak tarik diri…Hakim yg sama dilantik mengendalikan kes jenayah walaupun tidak ada langsung pengalaman kes2 jenayah…dan hakim yg sama dinaikkan pangkat oleh Maimun sbg hakim mahkamah rayuan setelah selesai menjalankan ‘tugas’ di mahkamah tinggi…sungguh memalukan sistem Kehakiman Malaysia dan merugikan tax payer yg bayar gaji mereka

Comments are closed.