Lim Hui Ying

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM245 juta lesap akibat aktiviti penipunan dalam talian seperti direkodkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) antara 12 Oktober 2022 sehingga 31 Januari lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, sebanyak 71,631 panggilan diterima NSRC merangkumi laporan kes-kes penipuan dan khidmat nasihat kepada orang ramai.

“Berdasarkan kepada aduan-aduan yang diterima itu, didapati jumlah kerugian adalah sebanyak RM245 juta,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) pada sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Hui Ying berkata, polis telah membuka 8,754 kertas siasatan bagi menyiasat kesalahan penipuan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, sebanyak 64 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) selain pembekuan sebanyak RM69 juta bagi tujuan siasatan kerana kesalahan pengubahan wang haram.

Hui Ying berkata, penipuan pelaburan, skim ponzi dan atas talian dipantau oleh pelbagai agensi bergantung kepada elemen kesalahan berkenaan di bawah bidang kuasa masing-masing.

“Di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, terdapat pelbagai langkah penguatkuasaan diambil Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC),” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi mengesan dan mengenalpasti skim atau aliran wang haram membabitkan luar negara, BNM bekerjasama dengan pihak berkuasa asing yang menjalankan analisis jejakan kewangan atau siasatan ke atas sebarang jenayah penipuan dan skim kewangan haram yang dilakukan dalam negara mereka.

Selain itu, katanya, kerjasama strategik pelbagai pihak di antara BNM, SC, agensi penguatkuasaan lain, institusi kewangan dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) bagi tindakan penguatkuasaan yang lebih cekap ke atas sindiket jenayah penipuan pelaburan melalui perkongsian maklumat dan aktiviti menjejak dan mengesan aliran wang haram.

“Penjenayah pengubahan wang haram bukan saja boleh dikenakan hukuman penjara, malah aset serta wang hasil yang diperolehi menerusi kegiatan haram juga boleh disita atau dilucuthakkan di bawah AMLA. Contohnya, pihak SC sudah mengambil tindakan menyita wang berjumlah RM116 juta (2021-2023).

“BNM juga sudah mengambil pelbagai langkah terhadap syarikat syarikat yang mendakwa memperoleh lesen dan kelulusan BNM termasuklah menyenarai di dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan serta mengambil tindakan undang-undang di atas penyalahgunaan nama BNM,” katanya.

Menurut Hui Ying, setakat 2023, 497 entiti telah disenaraikan di bawah Senarai Amaran Pengguna Kewangan. – MalaysiaGazette