GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menyarankan Tabung Haji atau pengkursus haji dan umrah supaya menjelaskan mengenai hukum mengusap atau mengucup hajarul aswad adalah tidak wajib, kepada jemaah.
Wan Salim berkata, perkara itu perlu dijelaskan sebelum jemaah berangkat ke Tanah Suci demi kesempurnaan ibadat yang dikerjakan di sana.
Jelas beliau, jemaah juga perlu diterangkan bahawa mengusap atau mengucup hajarul aswad hanya sunat dan bukan syarat sah tawaf bagi ibadat haji mahupun umrah.
“Barangsiapa berpeluang mengusap hajarul aswad atau mengucupnya dengan mudah tanpa berhimpit-himpit dan tanpa menyakiti orang lain maka eloklah dia mengambil peluang itu.
“Namun jika terpaksa berhimpit-himpit dan tolak menolak antara sesama jemaah bagi mengusap atau mengucup batu itu, maka lebih baik tidak usah dilakukan sebaliknya hanya berpada dengan isyarat dengan tangan ke arah hajarul aswad,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Wan Salim, mengusap atau mengucup batu berkenaan adalah sunat dalam keadaan lapang dan mudah dilakukan, tetapi jika berlaku keadaan tolak menolak di situ maka yang lebih afdal adalah tidak melakukan amalan berkenaan.
“Diriwayatkan di dalam sebuah hadis bahawa Nabi SAW pernah menasihati Sayyidina ‘Umar Ibnu Khattab supaya tidak berebut bagi mengucup hajarul aswad, tujuannya adalah bagi memberi peluang kepada jemaah lebih lemah untuk mengusap atau mengucup objek berkenaan.
“Maka adalah wajib ke atas mereka yang menunaikan ibadat haji atau umrah supaya memelihara kehormatan Baitullah serta tidak menyakiti mana-mana manusia di tempat suci itu,” katanya.
Semalam, tular video pempengaruh media sosial, Hafiz Mahamad yang terpaksa bersesak-sesak dan menarik kumpulan jemaah terdiri daripada kakitangannya untuk mencium hajarul aswad.
Rakaman video yang diambil oleh kakitangannya turut memperlihatkan beberapa kakitangan wanita termasuk isterinya hampir ‘lemas’ kerana terpaksa bertolak-tolak antara jemaah lelaki yang turut berebut. – MalaysiaGazette