Abdul Rashid Ghaffour
Abdul Rasheed Ghaffour

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang pada kadar 4.0 hingga 5.0 peratus pada tahun 2024, disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh dan sektor luaran yang bertambah baik.

Gabenor Bank Negara Malaysia,Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ekonomi global yang bertambah baik berserta dengan peningkatan kitaran teknologi akan memberi manfaat kepada eksport Malaysia, terutamanya memandangkan Malaysia merupakan peserta dominan dalam industri semikonduktor global.

Pada tahun 2023 sahaja, sejumlah kira-kira AS$70 bilion (RM329 bilion) pelaburan telah diluluskan dengan pelaburan langsung asing menyumbang sebanyak 57%. Hampir 74% daripada projek yang diluluskan antara tahun2021 hingga 2023 juga telah dilaksanakan.

Menurut beliau, Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) yang diperkenalkan mengukuhkan lagi tumpuan terhadap agenda kelestarian dan komitmen untuk meningkatkan sektor perkilangan negara, sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan yang kukuh dalam landasan pertumbuhan yang mampan.

Berdasarkan skalanya, pelaksanaan kedua-dua pelan ini dianggarkan memerlukan pembiayaan awam dan swasta sebanyak kira-kira AS$210 bilion (lebih RM1 trilion) menjelang tahun 2050, yang sebahagian pembiayaan ini akan diperoleh melalui penawaran produk kewangan Islam termasuk ESG patuh Syariah dalam pasaran sukuk Malaysia.

Pelabur baharu ke rantau ini boleh memanfaatkan Malaysia sebagai pangkalan untuk memenuhi permintaan pembiayaan di rantau ini, memandangkan ekosistem kewangan Islam Malaysia yang menyeluruh.

“Kelebihan utama Malaysia adalah pada daya tahan sektor luaran. Daya tahan ini disumbangkan oleh lebihan akaun semasa, tahap hutang luar negeri yang boleh diurus, kedudukan aset luaran bersih dan tahap rizab antarabangsa yang mencukupi.

Kedudukan ini telah membolehkan Malaysia mengharungi keadaan kewangan global yang tidak menentu daripada kedudukan yang kukuh, dan telah memastikan pasaran kewangan domestik terus kekal teratur,” katanya ketika berucap pada Simposium Kewangan Islam Fitch Ratings 2024.

Jelasnya, pembaharuan yang dilakukan termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal ( FRA) dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana ( MTFF) akan menyokong pengurangan defisit fiskal kepada antara -3% hingga -3.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.

Langkah ini akan disokong oleh peningkatan hasil dan pengoptimuman perbelanjaan, termasuklah peluasan asas cukai.

Gabenor berkata, meskipun ringgit Malaysia telah mengalami tekanan sejak tahun 2022, hal ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh pelarasan kadar dasar yang agresif oleh Rizab Persekutuan Amrika Syarikat dan fenomena ini tidak hanya khusus kepada Malaysia
namun mencerminkan dinamik pasaran mata wang yang lebih luas.

Memandangkan prospek pertumbuhan Malaysia yang positif, paras ringgit semasa berada di bawah nilai saksama dan keadaaan ini tidak wajar kerana ringgit juga disokong oleh keyakinan pelabur yang berterusan, yang dibuktikan oleh pemegangan bon kerajaan jangka panjang yang stabil oleh pelabur bukan pemastautin pada sekitar 22%, dan aliran masuk asing baru-baru ini ke dalam pasaran ekuiti domestik.

“Kami mempunyai keazaman yang tinggi dalam memastikan nilai ringgit terus stabil. Kami telah menggiatkan libat urus dengan pelabur asing, untuk mengetengahkan prospek positif Malaysia serta mengapa Malaysia masih menjadi destinasi pelaburan dan perniagaan yang menarik.

“Oleh itu, dengan kedudukan ringgit berada di bawah nilai saksama serta peluang pelaburan yang sedia ada dan yang akan datang, pelabur global berpeluang untuk meraih manfaat dengan menjadi sebahagian daripada prospek pertumbuhan Malaysia,” tambahnya.

Menurut beliau, Malaysia mengalu-alukan kerjasama dengan pasaran lain dan pihak berkepentingan antarabangsa, kerana peralihan kepada ekonomi yang mampan memerlukan tindakan global secara kolektif.

“Saya yakin Simposium Kewangan Islam ini akan memberi kita pandangan dan prospek pasaran yang tidak ternilai yang pastinya menyumbang kepada peranan dan bidang masing-masing.

“Pada bulan Mei tahun ini, Malaysia juga akan menganjurkan forum global yang memberikan tumpuan pada cara ekonomi dan kewangan Islam boleh membentuk ekonomi global yang lebih berdaya tahan, lestari dan saksama. Butiran lanjut akan diumumkan kelak dan anda semua dialu-alukan untuk menyertai forum ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast