KUALA LUMPUR – Gerakan Pulangkan Duit Rakyat melahirkan rasa kesal dengan tindakan isteri kepada bekas Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Naimah Abdul Khalid yang memfailkan permohonan mencabar pertuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beliau.

Jurucakapnya, Ariffin Abu Bakar berkata, tindakan itu seolah-olah cuba memperlekeh kewibawaan dan kredibiliti SPRM sebagai badan bebas.

“SPRM sepatutnya bebas untuk menyiasat mana-mana individu yang terkait dengan penyalahgunaan kuasa, kedudukan serta salah laku rasuah di negara ini.

“Tindakan itu mencabar kesahihan pertuduhan itu seolah-olah tidak menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu rakyatnya memerangi rasuah,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Parlimen, di sini, hari ini.

Jurucakap Gerakan Pulangkan Duit Rakyat bercakap kepada pemberita dalam sidang media di luar pekarangan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, isteri bekas Menteri Kewangan itu memfailkan permohonan bagi merujuk persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau di bawah Akta SPRM 2009.

Menerusi notis usul yang difailkan di bawah Seksyen 30(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid memohon Mahkamah Sesyen memberikan suatu perintah untuk merujuk soalan mengenai kesan peruntukan Perlembagaan Persekutuan kepada Mahkamah Tinggi.

Persoalan itu ialah sama ada Seksyen 30(5) dan 36(2) Akta SPRM 2009 melanggar hak seseorang untuk dilindungi daripada membabitkan diri dengan suatu kesalahan serta hak untuk tidak dipaksa memberikan keterangan dalam suatu kesalahan dan yang akan digunakan dalam prosiding terhadapnya serta atau hak untuk suatu perbicaraan adil.

Dalam pada itu, Ariffin menggesa SPRM agar terus berani membuat siasatan dan berusaha mendapatkan semula duit rakyat yang didakwa hilang berbilion ringgit dalam pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Di kala rakyat dihimpit dengan tekanan kos sara hidup melambung tinggi, langkah SPRM untuk menokhtahkan salah guna kuasa dan salah laku rasuah harus disokong semua pihak.

“Dengan kembalinya duit rakyat berbilion ringgit itu diharapkan dapat memberi kelegaan kepada ekonomi Malaysia dan lebih penting menstabilkan nilai ringgit yang jatuh teruk ketika ini,” katanya.

Sehubungan itu, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) tersebut turut mencadangkan agar kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperkasakan SPRM.

“Dengan langkah itu, kredibiliti SPRM boleh dipulihkan dan membuat pindaan undang-undang berkaitan agar tiada mana-mana individu boleh memperlekeh kewibawaan SPRM sebagai badan bebas,” katanya. – MalaysiaGazette