Pemain Kedah Darul Aman FC yang tidak berpuas hati atas keputusan pengadil sewaktu menentang Selangor FC pada Perlawanan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 25 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Dua pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA FC) dan KL City FC kini memiliki tempoh kurang sebulan bagi menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai menerusi ‘ihsan’ terbaru Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Badan pengendali itu kini memberikan ‘talian hayat’ buat kedua-dua pasukan itu untuk melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka secara berperingkat dan mereka perlu berusaha menyelesaikan perkara berkenaan sebelum 29 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan, kedua-dua pasukan itu bakal berdepan hukuman sekiranya gagal menyelesaikan perkara terbabit seperti yang dinyatakan.

“KDA FC dan KL City diarahkan untuk membuat pembayaran pertama sebanyak 50 peratus pada atau sebelum 15 Mac 2024 dan penyelesaian penuh pada atau sebelum 29 Mac 2024.

“Kegagalan untuk membuat pembayaran seperti tarikh yang ditetapkan itu bakal mengakibatkan kedua-dua kelab Liga Super itu dikenakan sekatan perpindahan pemain berserta denda atau berdepan hukuman penarikan Lesen Kebangsaan oleh First Instance Body (FIB),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook MFL hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Stuart enggan membuat sebarang spekulasi mengenai nasib KDA FC sama ada bakal digugurkan daripada saingan Liga Super musim 2024/25 namun mengakui isu yang sedang dihadapi kelab ketika ini boleh dianggap serius.

Sebelum ini, kedua-dua kelab itu didakwa berdepan tunggakan gaji pemain sehingga empat bulan sejak musim lalu. – MalaysiaGazette