Majlis pelancaran awal SEACare turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd. Mustafa Abdul Aziz (tengah9 berlangsung di sini baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Lebih daripada 10 buah negara bakal menyertai Southeast Asian Healthcare & Pharma (SEACare) 2024 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama tiga hari bermula 17 April ini.

Pengurus Besar Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd. (Qube), Kevin Teo berkata, ia melibatkan lebih 100 pempamer di mana kurang 40 hingga 50 peratus daripada pempamer terlibat dalam segmen peranti perubatan.

Menurut beliau, sebanyak 20 peratus diwakili oleh farmasi dan bakinya daripada bidang pengurusan fasiliti dan pembersihan serta teknologi berkaitan industri penjagaan kesihatan.

“Kami memerlukan lebih banyak penyertaan pempamer yang terdiri daripada syarikat tempatan.

“Kami juga mahu menjadikan pameran kali ini sebagai platform utama menghimpunkan semua pemain khususnya di rantau Asia dalam industri penjagaan kesihatan dan perubatan ini di bawah satu bumbung di sini,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pelancaran awal SEACare yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd. Mustafa Abdul Aziz di sini baru-baru ini.

Qube adalah penganjur tempatan yang baru mengambil alih penganjuran SEACare dan pendekatannya kini lebih menjurus kepada pameran berorientasikan perniagaan dengan misi untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi sehenti untuk memperoleh pelbagai produk, perkhidmatan dalam industri penjagaan kesihatan serta perubatan bagi semua pemain di seluruh dunia.

Penganjuran SEACare yang kini masuk ke tahun ke-24 turut tampil berbeza melalui kerjasamanya dengan Matrade dan bakal menggunakan sokongan daripada 49 cawangannya di seluruh dunia bakal membawa pemain dari negara-negara berkenaan menyertai pameran tersebut pada tahun ini.

Teo menerangkan, selain pameran sepanjang tiga hari itu, SEACare turut menjadi pentas perkongsian ilmu dalam kalangan pakar dalam industri dan juga akademik, persatuan dan juga agensi kerajaan bagi membincangkan pelbagai isu utama, cabaran dan permasalahan seperti perlesenan dan pengesahan daripada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette