KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan kerana disyaki membakar dan merosakkan perabot di kediaman adik perempuannya di Taman Keramat, Ampang pada Sabtu lalu.
Kejadian itu disedari mangsa yang berusia 42 tahun setelah pulang ke rumah dan mendapati cermin hiasan dinding dibakar di luar rumah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazruel Ekram Abu Saare berkata, wanita itu juga mendapati kerusi di dalam rumahnya turut dirosakkan.
“Wanita itu kemudiannya memeriksa bilik abang kandungnya dan menjumpai satu botol berisi petrol. Pengadu juga mengesyaki abangnya bertindak sedemikian apabila berada di bawah pengaruh dadah sebagaimana yang pernah terjadi sebelum ini sehingga mengancam keselamatan keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nazruel, hasil ujian awal saringan mendapati suspek positif tiga jenis dadah iaitu methamphetamine, amphetamine dan morfin.
“Semakan turut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau atau kesalahan jenayah serta 14 rekod lampau atas kesalahan dadah.
“Suspek direman empat hari bermula 4 Mac dan siasatan kes akan dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.” katanya. – MalaysiaGazette