Sebahagian pemain Perlis United FC. Foto Ihsan: FB PERLIS UNITED FC

KUALA LUMPUR – Perlis United FC (PUFC) diarah memenuhi syarat tambahan untuk layak menerima Lesen Bersyarat Luar Biasa (extraordinary license) bagi mengisi slot ke-14 Liga Super 2024-2025.

Keputusan itu dibuat setelah Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Football League (MFL) mendengar permohonan PUFC menerusi cadangan dari First Instance Body (FIB) yang telah menyemak dan menilai dokumen yang diserahkan kelas M3 Amateur Football League (AFL) itu.

Slot ke-14 tersebut juga dimohon oleh Kelab Imigresen FC, KL Rovers FC dan Harini Selangor FT selepas Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding.

Permohonan yang dihantar perlulah lengkap dengan segala kriteria yang telah dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 seperti Infrastruktur, Kakitangan & Pentadbiran dan Kewangan.

Berdasarkan semakan dan penelitian teliti terhadap setiap permohonan yang dikemukakan, dokumen yang dihantar PUFC kukuh dengan salinan surat penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat penaja berpotensi iaitu Mudim Zakaria Food Industries Sdn Bhd, Ivory Properties Group Berhad, M.A Intelligent Holdings Sdn Bhd dan Al Razi Holding (M) Sdn. Bhd.

PUFC turut mengemukakan salinan cek berjumlah RM5 juta diterima daripada penaja sebagai bukti dana kewangan pasukan serta menyerahkan surat sokongan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Tetapi Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, Ahli Lembaga Pengarah MFL hanya akan memberi PUFC lesen jika pasukan itu mematuhi keperluan dan kriteria yang ditetapkan oleh FIB.

“PUFC juga akan memberikan jaminan dan janji kepada FIB semasa pembentangan mereka,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, FIB telah memberi tempoh terakhir untuk Kedah Darul Aman FC (KDA FC) serta Kuala Lumpur City FC (KL City) menyelesaikan segala tunggakan gaji dan pegawai mereka secara berperingkat.

“Kedua-dua pasukan itu diarah untuk membuat pembayaran pertama sebanyak 50 peratus pada atau sebelum 15 Mac dan penyelesaian penuh pada atau sebelum 29 Mac, tahun ini.

“Jika mereka untuk membuat pembayaran seperti tarikh yang ditetapkan, kedua-dua kelab itu akan dikenakan sekatan perpindahan pemain beserta denda atau berdepan hukuman penarikan Lesen Kebangsaan oleh FIB,” katanya. – MalaysiaGazette