Seorang mahasiswa mengajar kanak-kanak Felda Sahabat mengaji al-Quran.

KUALA LUMPUR – Sembilan mahasiswa Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) berjaya mengumpul dana sebanyak RM160,000 bagi membantu penduduk di FeldaA Gugusan Sahabat celik al-Quran.

Pengarah Projek Kumpulan Kami Satu tersebut, Saifullah Mat Nor@Ahmad Nor berkata, dana yang terkumpul itu adalah hasil sumbangan daripada beberapa agensi termasuk Felda, Felda Plantation Management Sdn. Bhd. dan Felda Investment Corporation Sdn. Bhd., sebagai penaja utama dan barisan penaja lain seperti FGV Holdings Bhd., Ranhill Worley Sdn. Bhd., Yayasan Felda, Koperasi Kakitangan Felda Malaysia Bhd., Hanis Agroscience, Diversatech Fertilizer, ICP Agro Solution, SG Bathe, Eng Huat Latex Concetrate Sdn. Bhd. termasuk beberapa sumbangan individu.

Dana tunai sebanyak RM160,000 ini tidak termasuk sumbangan dalam bentuk in-kind.

“Melalui sumbangan ini, kami telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui pelaksanaan Kem Celik Al-Quran (Kem CQ) dan Kursus Latihan Tenaga Pengajar (LTP) menggunakan Kaedah ABAHATA bersama warga Felda Gugusan Sahabat.

“Program yang diadakan selama lima hari mulai 19 hingga 23 Februari 2024 melibatkan kerjasama antara UKM-GSB dengan Institut Pengajian Al-Quran (IPaQ), Pejabat Mufti Negeri Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan WAQAF FELDA,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif CSR itu berjaya menyediakan satu platform pembelajaran al-Quran yang sistematik dan berkesan melalui kaedah ABAHATA.

Penganjuran program ini telah berjaya membantu 50 kanak-kanak yang kurang mahir membaca al-Quran supaya mengenal huruf dan mampu membaca suku kata al-Quran dengan betul dan mentauliahkan sebanyak 30 guru al-Quran untuk mereka menyumbang bakti mengembangkan pendidikan Al-Quran menggunakan kaedah ABAHATA kepada penduduk setempat.

Menurut beliau, program CSR tersebut mencipta sejarah apabila ia akan diperluaskan ke tanah rancangan FELDA di seluruh negara dengan sokongan dan kerjasama daripada WAQAF Felda. – MalaysiaGazette