Sunday, October 27, 2024
Home Seni Hidup Miji Cromok meninggal dunia

Miji Cromok meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Bekas pemain dram kumpulan thrash metal tanah air, Tarmizi Mokhtar atau lebih dikenali Miji Cromok meninggal dunia semalam.
Berita mengenai pemergian Allahyarham itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook akaun KARL Cromok malam tadi.
“Dengan penuh kesedihan dan rasa kehilangan yang mendalam, kami ingin memberitahu bahawa Tarmizi Mokhtar (Miji Cromok) telah kembali ke rahmatullah pada 6 March 2024 jam 10.40 malam.
“Kami mengundang anda semua untuk turut serta dalam doa dan memberikan sokongan kepada keluarga Almarhum di masa kesedihan ini.
“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada keluarga untuk menghadapi dugaan ini dengan sabar dan reda,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Menurut perkongsian terbarunya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Islam Lemal, Pasir Mas selepas zohor.
Terdahulu, Karl menerusi siaran di Facebooknya, pernah berkongsikan keadaan Allahyarham yang menjalani rawatan di hospital akibat kanser hati tahap empat.
Allahyarham dan Karl merupakan antara anggota asal Cromok yang sama-sama menubuhkan kumpulan tersebut pada 1987. – MalaysiaGazette