Antara barangan Geng Alif yang dirampas polis, semalam. - Foto Ihsan: Polis Daerah Hulu Selangor
Antara barang rampasan selepas polis menumpaskan kumpulan samun yang dikenali Geng Alif di Hulu Selangor.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan kumpulan samun yang dikenali Geng Alif di sebuah ladang ternakan ayam di Kampung Timah, Bukit Beruntung, Hulu Selangor semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan, Mohd Asri bin Mohd Yunus, tiga lelaki ditahan semasa serbuan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Rawang sekitar pukul 4.10 pagi.

Mereka yang ditahan merupakan warga tempatan dan berusia 29 hingga 38 tahun.

“Ujian saringan yang dilakukan mendapati mereka positif dadah jenis syabu. Semakan juga mendapati mereka mempunyai rekod lampau yang membabitkan kes jenayah dan dadah.

“Polis turut merampas sepucuk pistol angin, tiga buah motosikal, pakaian dan dua buah telefon bimbit,” kata Mohd Asri dalam kenyataan.

Suspek akan direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 12 Mac untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette