Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari hadir pada sidang media berkenaan kes bunuh, tangkapan dadah, kes curi kabel, kes samun dan ragut di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 07 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang menjadi sahabat kepada seorang suspek kes ragut di kawasan sekitar Sentul, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, lelaki itu dicari susulan tangkapan yang dibuat ke atas rakannya berusia 34 tahun pada Selasa lepas.

Katanya, kedua-dua lelaki itu telah melakukan ragut terhadap seorang wanita warga tempatan pada Isnin lalu di hadapan lif Flat Seri Perak Bandar Sentul.

“Sindiket ini melakukan kegiatan meragut di kawasan perumahan dan mensasarkan pejalan kaki dan penunggang motosikal.

“Kegiatan ini dijalankan secara berkumpulan di mana hasil ragut tersebut akan dijual di kedai mengikut hasil barangan yang diragut untuk mendapatkan wang dan dibahagikan sesama mereka,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, salah seorang daripada suspek dikenali dengan panggilan Tatan.

Berdasarkan semakan kata beliau, suspek dalam kes itu memiliki lima rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan dadah.

Katanya, dengan tangkapan itu pihaknya telah berjaya menyelesaikan sebanyak enam kes ragut yang dilaporkan di sekitar Sentul.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad Sukarno berkata, seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kes bunuh rakannya di di Tepi Jalan Tanglin dekat Tasik Perdana di sini.

Suspek telahpun dituduh di Mahkamah pada Jumaat lepas di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kes itu, beliau berkata, suspek telah menikam rakannya di bahagian dada dan kemdian telah meninggalkan mayatnya terbaring di atas jalan di hadapan rumah jirannya.

“Mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” ujarnya. – MalaysiaGazette