Wednesday, May 1, 2024
Home Utama Rizab LTAT negatif, tiga bekas pengurusan tertinggi dipanggil PAC

Rizab LTAT negatif, tiga bekas pengurusan tertinggi dipanggil PAC

Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil tiga bekas pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi memberi penjelasan berhubung pendedahan rizab kewangan agensi itu yang negatif.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dibentang semalam.

Menurut beliau, inidvidu yang dipanggil adalah bekas Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman.

Katanya, Pengarah Kanan Strategi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Dayana Rogayah Omar yang sebelum ini meletakkan jawatan juga antara tiga individu itu.

“PAC amat bimbang dengan kewangan LTAT selepas pendedahan bahawa rizab LTAT berbaki negatif sekali gus menimbulkan persoalan kemampuannya membayar dividen kepada pencarum,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Mas Ermieyati menambah, jawatankuasa itu juga tidak menolak untuk memanggil Menteri Pertahanan selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap LTAT.

“Ini memandangkan isu ini amat kritikal membabitkan 122,935 pencarum sehingga 13 Mac 2023 yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.
Beliau juha memberitahu, selain LTAT, PAC juga akan memanggil Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) selepas prosiding LTAT selesai.
Semalam, LKAN mendedahkan LTAT menghadapi rizab negatif berjumlah RM0.388 bilion pada tahun 2022.
“LTAT tidak membuat penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari berjumlah RM0.812 bilion, iaitu Boustead Holdings Berhad berjumlah RM0.768 bilion dan Pharmaniaga Berhad berjumlah RM0.044 bilion.
“Perkara ini menyebabkan untung bersih dan pelaburan dalam syarikat subsidiari terlebih nyata berjumlah RM0.812 bilion.
“LTAT telah merekodkan keuntungan bukan tunai sebanyak RM0.189 bilion yang telah digunakan sebagai asas untuk pembayaran dividen tahun 2022 kepada pencarum,” menurut laporan itu. – MalaysiaGazette