CYBERJAYA – Selangor menjadi negeri merekodkan pengeluaran notis kesalahan merokok di tempat makan paling tinggi sebanyak 750 notis setakat Januari 2024.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, selain Selangor, Johor juga direkodkan negeri kedua tertinggi dengan 743 notis sama.
“Pengeluaran notis kesalahan merokok di tempat makan tertinggi juga direkodkan di Pulau Pinang (595), Sarawak (586) dan Pahang (519),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mengetuai Ops Tempat Makan di beberapa premis makanan di sini sejak dari jam 5 petang hingga 10.30 malam tadi.
Dalam pada itu, sebanyak 16,046 bilangan operasi di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 telah dilaksanakan sepanjang 2023.
“Manakala bagi 2024 (sehingga Januari), sebanyak 1,568 operasi penguatkuasaan dilakukan pihaknya,” katanya.
Menurut beliau, sejumlah 96,127 notis kesalahan dikeluarkan pada 2023 di bawah Peraturan 11 (1), PPKHT 2004 iaitu larangan merokok di 23 tempat dilarang merokok.
“Manakala sebanyak 11,781 notis kesalahan dikeluarkan pada 2024 (sehingga Januari).
“Sejumlah 41,581 notis kesalahan dikeluarkan pada 2023, manakala sebanyak 5,790 notis kesalahan dikeluarkan pada 2024.
“Kesalahan itu dilakukan di bawah Peraturan 11 (1) (d), PPKHT 2004 iaitu larangan merokok di tempat makan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette