Sultan Sharafuddin Idris Shah mempengerusikan mesyuarat terakhir MKI sebelum tugas baginda tamat pada 9 Mac 2024. Foto Selangor Royal Office

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berhasrat untuk menyambung tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) selepas tugas baginda selesai pada 9 Mac ini.

Baginda telah menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI pada 10 Mac 2022.

Sultan Selangor berkenan menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk memilih seorang Pengerusi MKI baharu dalam kalangan raja pemerintah agar kesinambungan fungsi dan aspirasi MKI akan terus dapat dilaksanakan dengan lebih baik di bawah kepimpinan pengerusi baharu.

Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas komitmen semua ahli mesyuarat, serta wakil-wakil dari semua negeri serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selaku Sekretariat MKI yang telah melaksanakan tugasnya dengan begitu efektif sehingga membolehkan semua mesyuarat MKI dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian selepas berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah Jakim yang merangkap Setiausaha Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Datin Paduka Hajah Hakimah Mohd Yusoff dan Sekretariat MKI.

Pada mesyuarat terakhir bersama jawatankuasa ini, baginda menzahirkan penghargaan dan rasa sukacita terhadap kerjasama yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa dan sekretariat sepanjang memegang jawatan itu.

Baginda turut menyemak semua minit-minit mesyuarat yang lalu dan memastikan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang telah ditubuhkan, menjalankan tugas yang diamanahkan.

Sultan Selangor menegaskan, sepanjang bertindak sebagai Pengerusi MKI, telah menjadi kewajipan baginda untuk sentiasa mengangkat dan mempertahankan syiar agama Islam di Malaysia dalam setiap keputusan yang dibuat secara muzakarah.

Merujuk kepada Peraturan 2(1) Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022 yang menetapkan bahawa Pengerusi MKI hendaklah dipilih dalam kalangan Raja Pemerintah oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua tahun dan boleh diperbaharui. – MalaysiaGazette