Special Branch defamation suit pontianak false claims

Oleh: Dr. Hafidz Hakimi Haron

SEJAK kebelakangan ini, kedudukan dan kedaulatan institusi pentadbiran dan kehakiman syariah di negara ini hangat diperdebatkan dan diperkatakan. Isu-isu berkaitan yang timbul secara tidak langsung menuntut pemerkasaan terhadap institusi mahkamah syariah bagi memastikan kelesterian institusi-institusi berkaitan untuk jangka masa yang panjang. Hasil daripada isu-isu yang timbul, maka terdapat beberapa cadangan mula diutarakan, iaitu termasuklah berkaitan dengan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM).

Walaupun cadangan penubuhan ini dilihat baharu, namun yang demikian, pada hakikatnya cadangan ataupun usaha untuk menubuhkan JPSM di negara ini telahpun mula digerakkan sejak daripada tahun 2019 lagi, yang pada ketika itu diterajui oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. Di awal idea penubuhannya, matlamat utama pembentukan jabatan tersebut adalah bertujuan untuk mengawal selia semua perkara berkaitan dengan pendakwaan syariah di Malaysia, termasuklah perkara-perkara yang berkaitan dengan isu pengurusan dan tadbir urus, kemahiran pendakwa syarie, penyeragaman undang-undang jenayah syariah serta perlaksanaan proses dan prosedur perundangan.

Dalam keterujaan kita untuk melihat agenda pemerkasaan institusi berkaitan syariah di negara ini diperkasakan, penulis berpendapat bahawa adalah menjadi keperluan mustahak untuk masyarakat massa, khususnya penganut agama Islam untuk memahami asas pentadbiran dan perundangan syariah di negara ini.

Asas sistem perundangan syariah Malaysia

Konsep sistem kehakiman, perundangan dan pentadbiran syariah di negara ini bukanlah sesuatu yang baharu, malah sudahpun wujud sejak sekalian lama. Jika ditelusuri sejarah, sistem perundangan syariah sudahpun wujud di negara ini sejak daripada era Kesultanan Melayu Melaka lagi. Ini dapat dilihat apabila pengaruh undang-undang Islam di bawah pentadbiran kesultanan melayu melaka jelas dizahirkan melalui Undang-undang Melaka dan juga Undang-undang Laut Melaka. Malah, Undang-undang Syariah juga diiktiraf kewujudannya oleh pentadbiran kehakiman kolonial British, dimana kes-kes seperti Ramah lwn Laton mengisytiharkan bahawa undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing di Tanah Melayu pada ketika itu.

Pengiktirafan terhadap kepentingan Islam dan sistem perundangan Islam kekal walaupun selepas negara mencapai kemerdekaan; malah, ianya dinaiktaraf melalui Perlembagaan Persekutuan. Pelbagai peruntukan mengenai Islam disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuklah pengiktirafan agama Islam sebagai agama Persekutuan melalui Perkara 3. Terdapat juga peruntukan yang menyekat penyebaran doktrin selain Islam kepada penganut agama Islam seperti yang disebut dibawah Perkara 11, dan juga pengiktirafan penubuhan institusi-institusi Islam seperti yang dijamin dibawah Perkara 13. Kewujudan dan keabsahan bidangkuasa Mahkamah-mahkamah Syariah pula diperakui dibawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam aspek perundangan dan pentadbiran syariah pula, kuasa-kuasa yang berkaitan secara amnya diletakkan dibawah bidang kuasa negeri-negeri kecuali bagi wilayah-wilayah persekutuan yang berada di bawah perhatian persekutuan. Hal ini kerana secara tradisinya, kuasa-kuasa berkaitan dengan tadbir urus Islam adalah sentiasa terletak dibawah jagaan dan naungan Raja-raja Melayu. Oleh itu, dalam menjunjung amalan federalisme yang diamalkan di negara ini, Perlembagaan Persekutuan telah membahagikan kuasa-kuasa perundangan dan pentadbiran diantara persekutuan dan negeri. Dalam konteks ini, kuasa-kuasa berkaitan dengan hal ehwal Islam secara umumnya diletakkan dibawah Butiran 1 Senarai II Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan keperlembagaan mengenai keabsahan perundangan kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang digubal oleh negeri-negeri timbul didalam beberapa kes mutakhir, termasuklah didalam kes Iki Putra Mubarrak dan juga kes Nik Elin. Didalam Kes Nik Elin, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai tidak sah dan batal.

Hal ini kerana, peruntukan-peruntukan mengenai kesalahan-kesalahan yang disebut diatas telahpun mempunyai persamaan dibawah undang-undang persekutuan tersenarai di bawah Senarai I Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan. Oleh itu, menurut Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, memandangkan Parlimen membuat undang-undang jenayah seperti liwat, persetubuhan dengan mayat, muncikari dan kesalahan lain termaktub dalam Kanun Keseksaan, maka Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak diberi kuasa untuk membuat undang-undang yang sama walaupun ia adalah bercanggah dengan perintah agama Islam.

JPSM penyelesaian jangka panjang?

Isu-isu yang timbul mutakhir ini sudah tentu menuntut suatu tindakan yang lebih proaktif diambil bagi memperkasakan institusi perundangan dan kehakiman syariah yang sedia ada. Pada pandangan penulis, pendekatan yang berhikmah, menjunjung kedaulatan Perlembagaan Persekutuan serta beteraskan matlamat untuk mengharmonisasikan perundangan di antara undang-undang syariah dan sivil wajar menjadi teras didalam aspirasi memperkasakan sistem perundangan syariah di negara ini. Malah, keputusan didalam kes Nik Elin oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini sudah tentu membuka lembaran baharu berkaitan dengan usaha untuk mengharmonisasi institusi pentadbiran dan kehakiman syariah serta sistem perundangan sivil sedia ada.

Secara asasnya, penulis melihat cadangan untuk menubuhkan JPSM merupakan satu cadangan yang positif dalam usaha untuk memartabatkan institusi perundangan dan kehakiman syariah yang sedia ada. Namun yang demikian, penulis berpandangan bahawa cadangan penubuhan ini haruslah melalui proses-proses yang teliti dan mendalam, apatah lagi isu undang-undang jenayah syariah adalah amat dekat dan sensitif kepada penganut agama Islam di negara ini.

Dalam pada masa yang sama, agenda pemerkasaan institusi perundangan dan kehakiman Syariah haruslah dijalankan secara strategik dan menyeluruh bagi memastikan bahawa penyelesaian yang digerakkan adalah berkesan dan bersifat jangka panjang. Agenda pengukuhan yang lain seperti pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355), RUU mufti, pindaan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) haruslah berjalan seiring dan bersama-bersama dengan cadangan penubuhan JPSM bagi mencapai matlamat pemerkasaan perundangan syariah di negara ini.

Dalam pada masa yang sama, cadangan-cadangan yang konstruktif, termasuklah cadangan untuk mengkaji semula peruntukan undang-undang berkaitan sedia ada haruslah dilakukan secara serius. Malah cetusan idea mengenai cadangan untuk memasukkan kesalahan jenayah syariah dibawah senarai bidangkuasa bersama iaitu Senarai III yang membolehkan kedua-dua badan perundangan membuat undang-undang bersama-sama dalam hal tertentu haruslah diberikan perhatian yang sewajarnya.

Hal ini penting pada hemat penulis bagi mengelakkan apa-apa potensi pertindahan kuasa yang mendorong cetusan permasalahan baharu yang mampu timbul, sekali gus boleh mencetuskan krisis perlembagaan yang baharu dan lebih meruncing pada masa akan datang. Pendek kata, usaha untuk memperkasakan institusi perundangan syariah di negara ini memerlukan kerjasama, komitmen, kesepakatan dan juga kepakaran semua pihak bagi menjayakannya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Undang-Undang, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast